Kata-Kata Mourinho Buat Zidane Panas Punggung

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane nyata tidak selesa dengan komen Jose Mourinho tentang Gareth Bale.

Mourinho memberitahu yang beliau akan berjuang (fight) membawa Bale ke United jika pemain itu tiada dalam kesebelasan utama Real Madrid menentang United pada final UEFA Super Cup 2017.

Zinedine Zidane merasakan komen Jose Mourinho itu boleh mengganggu keharmornian di dalam kem Real Madrid terutama sekali melibatkan Gareth Bale. Zidane berkata:

“Paling penting adalah pemain itu (Bale) baik-baik sahaja di sini. Dia tidak ada masalah dengan latihan, itu yang paling penting.”

Zidane memberitahu, beliau bukan suka-suka meletakkan pemain seperti Bale di bangku simpanan. Musim lalu, Bale kerap diturunkan Zidane sehinggakan ada mengkritik beliau kerana menurunkan Bale yang kurang cergas di dalam beberapa perlawanan.

“Musim lalu, musim sukar untuk Bale, beliau bergelut dengan kecederaan. Saya gembira dengan beliau di sini, paling penting buat masa ini adalah, apa yang kami lakukan bukannya apa yang mereka katakan.”

Kos untuk membawa Gareth Bale ke Old Trafford pastinya bukan murah. Dijangkakan harga pemain itu sekitar £100 juta di dalam keadaan pasaran semasa.

Jose Mourinho setakat ini sudah berbelanja sangat besar sejak menjadi pengurus Manchester United. Musim lalu, Pogba menjadi rekod perpindahan tertinggi di EPL dan di dunia.

Musim ini, setakat ini, Romelu Lukaku masih lagi pemain dengan harga tertinggi di EPL dengan nilai £75 juta. Jose Mourinho mahu menjadikan Bale sebagai pemain ke-4 yang dibeli dalam jendela perpindahan kali ini.

Beliau percaya, Bale akan menjadi senjata penting untuk United menjadi juara EPL sekali lagi. – os

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *