Keistimewaan Yang Ada Pada Muzium Dar Al-Madinah

MADINAH – Pengkisahan mengenai kota suci Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah serta perjuangan dan sirah Nabi Muhammad SAW sudah banyak diceritakan sama ada dalam bentuk buku, majalah mahupun dokumentari.

Namun, lainnya pula apabila pengkisahan itu dibuat dalam bentuk model diorama serta struktur mini yang sangat menarik lantaran dapat membayangkan setiap perjalanan kehidupan baginda Rasulullah SAW, serta evolusi Makkah dan Madinah, dalam setiap fasa.

Kesemua keunikan itu dapat dilihat apabila anda berkunjung ke Muzium Dar Al-Madinah, muzium istimewa menampilkan Makkah, Madinah dan sirah Rasullulah SAW, secara fizikal, yang dibuka Sabtu hingga Khamis dari 9 pagi hingga 7 malam.

Antara yang paling menarik perhatian ialah laluan penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah, evolusi pembinaan Masjid Nabawi di Madinah sejak mula diasaskan Rasullulah sehinggalah kepada bentuknya yang ada sekarang, serta evolusi pembinaan Kaabah.

Selain itu, muzium berkenaan turut mempamerkan tandu asal membawa kelambu Kaabah atau Kiswah berusia lebih 230 tahun yang dibawa dari Mesir ke Makkah menggunakan unta, serta replika bekas mengambil wuduk dan mandi yang digunakan Rasulullah SAW.

Bahan replika lain termasuk naskhah al-Quran Uthmani yang terdapat darah Khalifah Ketiga Saidina Uthman bin Affan yang wafat dibunuh Yahudi dan naskhah asal kitab suci itu kini ditempatkan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki.

Mula menjejak kaki di muzium berkenaan, kumpulan petugas media rombongan Tabung Haji (TH) yang membuat liputan haji musim 1438 Hijrah, diberikan penerangan mengenai asal tapak Kaabah, sehinggalah kepada perkembangan Madinah pada masa ini.

Untuk masuk ke muzium berkenaan yang dibuka pada 2011, pengunjung yang dikenakan bayaran SR35 tidak perlu bimbang kerana terdapat petugas atau pembimbing yang akan menerangkannya dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Arab, Inggeris dan Urdu.

Tidak hanya itu, sebuah model diorama yang menggambarkan suasana padang tandus di Makkah dan Madinah juga dipamerkan, membolehkan pengunjung membayangkan perjuangan Rasulullah SAW saat hijrah dari Makkah ke Madinah dengan menunggang unta selama tiga bulan.

Malah, di muzium itu juga terdapat replika bangunan awal Kaabah di Makkah sehinggalah ke hari ini serta bangunan awal Masjid Nabawi di Madinah.

Selain itu, replika tempat tinggal Rasulullah SAW bersama isteri baginda terletak berhampiran masjid sehinggalah akhirnya bercantum dengan masjid yang kini menempatkan makam baginda yang terletak di bawah kubah hijau Masjid Nabawi.

Turut ditampilkan adalah model diorama Peperangan Uhud, Perang Parit atau Perang Khandak, Perkuburan Baqi’, sehingga ke evolusi Makam Rasulullah SAW.

Antara lain, koleksi muzium turut meliputi wang syiling dari zaman baginda, replika al-Quran terawal, tembikar dari era Bani Umaiyah dan pelbagai koleksi lain dari era Mameluk dan Uthmaniyyah.

Pengurus Muzium Dar Al Madinah Soleiman Muhammed Soleiman berkata idea pembukaan muzium itu adalah bagi memberi pengunjung merasai sendiri perjuangan dan sirah Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam.

“Pelbagai perkara diberikan pertimbangan ketika idea membuka muzium berkenaan. Kenapa kita memilih Madinah kerana kota ini dipilih oleh Allah sebagai antara kota yang suci, dan di kota inilah jasad Rasulullah SAW dimakamkan,” katanya.

Beliau yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Multimedia di Bukit Beruang, Melaka, berkata kira-kira 60,000 pengunjung mengunjungi Muzium Dar Al-Madinah setahun yang dizahirkan secara diorama, iaitu model 3 Dimensi, yang mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan.

Berikutan keunikannya, muzium yang dibuka Emir Madinah Putera Abdulaziz Bin Majed itu menerima pelbagai penghargaan antarabangsa termasuk Anugerah Raja Faisal, kerana memelihara banyak artifak yang terpaksa dipindah atau dihapuskan ketika perluasan Masjid Nabawi.

Pengunjung juga berpeluang memiliki koleksi buku dan artikel khusus tentang sejarah Rasulullah SAW dan kota Madinah untuk dijadikan sebagai rujukan serta simpanan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *