Lelaki Kelantan ditetak isteri kerana minta nak kahwin lagi.

AKIBAT menyuarakan hasrat mahu berkahwin satu lagi, lelaki berusia 55 tahun menerima lebih 15 jahitan selepas ditetak isteri dengan menggunakan pisau pemotong sayur dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Manek Urai Lama, Khamis lalu.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa ditetak di kepala, dahi kanan dan lengan kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj berkata, mangsa ditetak oleh isterinya yang berusia 56 tahun selepas menyuarakan hasrat mahu berkahwin buat kali kedua.

“Ketika kejadian mangsa sedang baring sebelum isterinya bertindak mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan terus menetak suami.

“Terkejut dengan tindakan isteri, mangsa terus melarikan diri dengan keluar rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Klinik Manek Urai untuk menerima rawatan. Menurutnya, lelaki itu menerima lebih 15 jahitan di kepala dan dahi.

“Bagaimanapun, tiada laporan polis yang dibuat dan kedua-dua mereka kembali berbaik,” katanya.

Gambar kejadian ini menjadi tular di laman sosial Facebook hari ini yang mendapat pelbagai reaksi netizen. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *