Letak jawatan jika Azmin tak ada keberanian bertanggungjawab – MSO

AIDCNews -29/08/17 –Penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar (MSO) menyarankan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali meletakkan jawatan dalam politik jika beliau tiada keberanian untuk bertanggungjawab.

“Sebagai timbalan presiden beliau (Azmin) harus mengambil tanggungjawab.

“Sekiranya beliau masih dengan pendirian dan rasa kecewanya, eloklah kalau beliau melepaskan jawatan dalam parti kerana sikap begitu tidak membawa keuntungan banyak kepada parti,”kata MSO dalam Facebook.

MSO merujuk ketidakhadiran Azmin dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang telah membuat keputusan untuk menolak kerjasama dengan PAS dan bersedia bertanding tiga penjuru pada PRU 14.

Keputusan PH itu dibuat secara bersama oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Azmin selaku Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PH dilihat tidak bersetuju dengan keputusan itu, namun beliau tidak hadir untuk mempertahankan prinsipnya.

“Kerana itu beliau (Azmin) menguzurkan diri. Tetapi selepas ini beliau tidak boleh excuse begitu kerana ia tidak mempamerkan sikap genltlemen dalam politik.

“Sebaik-baiknya amalan bersikap tasamuhlah, di mana kita boleh berbalah dan bebas mengeluarkan pendapat untuk mencari kebaikan dalam sesuatu, tetapi setelah keputusan dicapai secara majmuk ia hendaklah dipatuhi dan dihormati.

“Rasa-rasanya Azmin bukan seorang yang menegakkan benang basah,”kata MSO lagi.

Azmin juga tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dikatakan berpecah kepada dua puak dalam soal mengadakan kerjasama semula dengan PAS.

Ketidakhadiran Azmin dan Rafizi Ramli yang mewakili dua pandangan yang saling bertentangan telah memudahkan Presiden PKR, Wan Azizah membuat kenyataan berkenaan persoalan tersebut.

“Biropolitik KEADILAN hari ini telah mengadakan mesyuarat mingguan dan telah membuat ketetapan bahawa KEADILAN komited kepada usaha memperkukuh Pakatan Harapan serta menyusun strategi untuk menewaskan UMNO-BN pada Pilihanraya Umum ke-14,”kata Wan Azizah dalam kenyataan satu perenggan.

Namun, kenyataan Wan Azizah itu dibaca MSO sebagai ‘tutup pintu tanpa berkunci’

“Kenyataan ditandatangani presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail itu tidak menyebut dan menegaskan yang parti itu tidak akan mengadakan apa-apa rundingan dengan PAS.

“Kenapa masih ada “klu klek” atau pun sihir lagi ke.

“Kenyataan ini sangat lembut dan sangat lemah sesuai dengan gender presiden ini seorang yang suka berkipas. Kenyataan begini orang nampak Keadilan masih buka jendela untuk PAS kalaupun pintunya sudah kelihatan di tutup. Atau tutup pintu tetapi tidak berkunci,”katanya lagi.

 

Sumber – AIDCNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *