Media Singapura fitnah berkenaan Tawaran Cina bekal sistem radar, peluru berpandu

Tawaran China untuk untuk membekalkan Malaysia dengan sistem pengawasan radar dan peluru berpandu seperti dilaporkan akhbar Singapura dan sebuah portal tempatan, kelmarin, tidak pernah berlaku.

Memetik laporan The Straits Times Singapura, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Johari Baharum berkata, perbincangan mengenai isu itu tidak pernah berlaku antara kedua-dua negara.

Katanya, Kementerian Pertahanan tidak mengetahui sebarang tawaran yang dibuat oleh China bagi menyediakan kemudahan radar dan sistem peluru berpandu itu.

Johari menyifatkan laporan berhubung isu itu sebagai perbuatan ‘nakal’ untuk menggugat hubungan Malaysia dan Singapura.

“Kenapa mahu menempatkan (sistem radar dan peluru berpandu) di Johor? Untuk berperang dengan Singapura? Tiada tindakan sedemikian,” katanya.

Sebelum ini laporan menyebut bahawa Malaysia menerima cadangan China untuk mewujudkan Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah berpangkalan di Johor yang dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu, sekali gus dilihat sebagai usaha Negara Tembok Besar itu untuk memperkukuh pencerobohannya di Laut China Selatan.

Memetik sumber pegawai kanan kerajaan Malaysia, The Straits Times melaporkan, cadangan penempatan radar dan sistem peluru berpandu itu disentuh secara ringkas ketika perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kaunselor Negara China, Wang Yong, selepas majlis pecah tanah pembinaan rojek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kelmarin.

The Straits Times berkata, sumber itu memberitahu bahawa perbincangan mengenainya masih berjalan dan keputusan muktamad akan diketahui selepas Najib bertemu Presiden China, Xi Jinping, yang dijangka melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, November ini.

Kerajaan komunis China dilaporkan menawarkan sehingga 12 unit sistem pelancar roket pelbagai guna (MLRS) jenis AR3 kepada Malaysia.

Menurut laman military-today.com, sistem artileri roket AR3 boleh digunakan untuk sasaran strategik yang jauh dan berkemampuan melancarkan peluru berpandu konvensional sehingga 280 kilometer. – IsmaWeb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *