Meninggal dunia selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tong ikan

Sabak Bernam: “Saya tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah seorang daripada kru bot menjerit memberitahu Nazaruddin berada dalam tong ikan,” kata Kee Chai Lee, 46.

Kee adalah rakan kepada Nazaruddin Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia selepas tergelincir sebelum terjatuh ke dalam tong ikan setinggi dua meter di enam batu nautika dari Bagan Sungai Lang, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 petang ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Kee yang juga pemilik bot itu berkata, bapa kepada tiga anak itu pekerja berdedikasi dan mengikut arahan.

“Selama empat tahun dia (Nazaruddin) bekerja di bawah saya. Dia serius melakukan kerja serta tidak banyak bercakap.

“Malah, saya senang hati melihat dia cekap menguruskan urusan jual beli bersama pihak lain meskipun saya tiada di sekitar jeti atau tempat mengambil ikan,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia meminta bantuan adiknya yang berada di bot berhampiran untuk mengeluarkannya.

“Apabila adik bersama seorang kru kapal sampai, kami bertiga bersama seorang kru bot saya mengangkat mangsa keluar dari tong itu menggunakan mesin penarik ikan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, permukaan bot licin menyebabkan mangsa tergelincir lalu termasuk ke dalam tong ikan di bot itu.

Beliau berkata, rakan mangsa cuba memberi bantuan dengan mengeluarkan mangsa dari tong ikan itu, tetapi mangsa tidak lagi bernyawa.

“Kami dapati tiada unsur jenayah dalam insiden ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Nor Azmi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat dan keputusannya mendapati mangsa mati lemas.

Dalam pada itu usaha menemu bual isteri mangsa, Nor Kamariah Yahya, 28, gagal apabila dia yang kini mengandung tiga bulan bersama tiga anak berusia lima, sembilan dan 10 tahun pulang ke Kluang, Johor untuk urusan pengebumian.

Difahamkan jenazah Nazaruddin dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Layang-layang, Kluang, untuk dikebumikan.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *