Parti Cap Bunga terima padah anjur forum provokasi UMNO – Annuar Musa

PETALING JAYA: Forum Nothing to Hide 2.0 anjuran Pemuda PPBM ialah satu bentuk provokasi terhadap Umno yang memakan diri penganjur, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua penerangan Umno itu menyifatkan tindakan beberapa pihak mendakwa parti itu sebagai dalang mencetuskan kekecohan di forum berkenaan ialah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Beliau turut membidas kegagalan PPBM menyediakan kawalan keselamatan secukupnya sehingga menyebabkan pengamal media cedera, memandangkan forum Nothing To Hide yang julung kali diadakan pada 2015 sudah berdepan isu keselamatan dan ketenteraman awam.

“Jangan cuba lempar tuduhan kepada Pemuda Umno seperti yang tersebar luas di media sosial.

“Itu perbuatan tidak bertanggungjawab dan sepatutnya biarlah polis siasat dulu. Kita juga boleh kata kekecohan itu dirancang kerana nak timbulkan tuduhan (terhadap Umno),” katanya kepada akhbar itu semalam.

Beliau mengulas kekecohan yang tercetus di forum Nothing to Hide 2.0 semalam, ketika Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjawab soalan hadirin mengenai tragedi Memali di Baling, Kedah pada September 1985.

Sebelum beliau selesai menjawab soalan itu, ada individu mula membaling kasut, diikuti kerusi dan botol air sebelum melontar suar yang dinyalakan ke arah pentas di mana Dr Mahathir berdiri.

Susulan itu, polis menahan 3 pemuda berusia 17 hingga 19 tahun bagi membantu siasatan keganasan semalam.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa wujud rancangan sistematik untuk mensabotaj forum itu yang menyebabkan kekecohan tercetus dengan suar berbau kimia dilontar ke arah Dr Mahathir.

Beliau tidak menolak kemungkinan kekecohan itu berpunca daripada “remaja upahan” yang menyamar sebagai ahli sayap itu dengan memakai baju T palsu PPBM.

Dakwaan itu ditepis pemimpin Umno, termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.

 

Sumber – Freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *