PAS mahu 1MDB diberi peluang selesaikan hutang.

PAS berkata 1MDB wajar diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang ditanggung tetapi pada masa yang sama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu dibentuk bagi menyiasat kemelut firma itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pada masa yang sama partinya berusaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) agar mereka yang meninggalkan hutang 1MDB untuk ditanggung rakyat dan kerajaan dapat dibawa ke muka pengadilan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan susulan ulasan pelbagai pihak mengenai sesi taklimat diberikan kepada parti itu di ibu negara kelmarin, Tuan Ibrahim berkata, disebabkan masalah 1MDB hari ini, jika pun adanya kerajaan baru selepas PRU14 dan semua yang terlibat menyeleweng berjaya ditangkap dan disumbat di dalam penjara, hutang 1MDB masih perlu ditanggung rakyat dan kerajaan yang baharu kerana hutangnya dijamin kerajaan telah diluluskan oleh mereka yang berkuasa hari ini.

“Itulah realiti yang menyayatkan dan itu kesan sebenarnya skandal 1MDB terhadap rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa 1MDB adalah 1 bala terhadap negara.”

Kelmarin, Tuan Ibrahim berkata, mereka berpuas hati selepas mendengar penjelasan mengenai hutang yang ditanggung 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang itu dari presiden 1MDB sendiri, Arul Kanda Kandasamy.

“Secara keseluruhan bagi pihak kami kita berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat Arul khusus pelan rasionalisasi yang telah dicadang beliau bagi mengatasi kemelut berlaku dalam 1MDB,” kata Tuan Ibrahim.

Arul Kanda memberikan penerangan kira-kira 2 jam kepada Tuan Ibrahim dan hampir 30 ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, serta tokoh jemputan seperti bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hari ini, Tuan Ibrahim berkata, dalam taklimat 1MDB oleh Arul Kanda kepada pimpinan tertinggi PAS, beliau menegaskan pelan rasionalisasi 1MDB adalah apa yang boleh beliau buat sekadar mampu untuk memastikan 1MDB tidak lagi perlu meminta suntikan dana daripada kerajaan.

Jika pelan rasionalisasi 1MDB gagal dan sekiranya 1MDB lewat membayar hutang, katanya, ia menyebabkan kos faedah bertambah melebihi AS$1.9 bilion setahun yang perlu ditanggung kerajaan sama ada kerajaan bertukar tangan ataupun tidak selepas PRU14.

“Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar faedah bertambah, di mana ia akan memeritkan rakyat dan kerajaan akan datang, suka mahupun duka.

“Yang menanggung akibat ini ialah kerajaan dan rakyat, bukan mereka yang terlibat menyeleweng 1MDB yang masih berkuasa. Hatta harta mereka yang terlibat dirampas pun, ia tidak mampu untuk membayar hutang 1MDB,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga berata, PAS berpendirian menteri kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa memandangkan kementerian kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated.

“Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Arul Kanda, tuan Ibahim berkata, selepas pertemuan dengan pegurusan 1MDB, pendirian PAS tidak pernah tidak ubah dalam isu berkaitan firma itu.

“Malah orang pertama yang menyarankan RCI terhadap 1MDB ialah Presiden PAS sendiri pada 2015.

“Arul bersedia berjumpa dengan PAS barangkali mungkin kerana PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dan bukannya politik fitnah dulu, bayar kemudian. Ini bezanya PAS dengan parti-parti politik pembangkang yang lain.

Memang ada beza antara yang mencari solusi dengan yang mencari publisiti,” kata beliau. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *