PAS tak terjejas langsung dek keputusan terbaru PH itu – Ahmad Dusuki

SHAH ALAM: Keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) mengekalkan pendirian tidak bekerjasama dengan PAS tidak memberikan sebarang makna kepada parti berteraskan Islam berkenaan.

“Tiada makna apa-apa dan kita ikut arahan kepimpinan PAS Pusat,” kata Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani kepada Antarapos.

Ini kerana menurut , parti berteraskan Islam itu telah menolak kerjasama dengan PH sejak daripada awal penggabungan parti pembangkang berkenaan.

“Walaupun saya pemimpin di peringkat negeri dan pusat, saya ikut arahan kepimpinan PAS Pusat.

“Macam mana kepimpinan PAS Pusat putuskan, kita kena ikut dan ahli-ahli PAS ini kita minta supaya sentiasa dengar arahan kepimpinan PAS Pusat,” katanya.

Semalam PH memutuskan untuk kekal dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PAS untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keputusan itu dicapai Majlis Presiden PH dalam mesyuarat diadakan di Ibu Pejabat PKR yang berakhir lewat tengah malam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, PH sedang dalam rangka mengatur strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14, sekaligus memadamkan terus hasrat PKR untuk berunding dengan PAS.

Terdahulu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata usaha dan perbincangan tersebut merupakan inisiatif daripada PKR dan bukannya atas kapasiti PH atau komponen lain.

Mengulas lanjut Ahmad Dusuki berkata PAS kekal dengan pendirian menolak kerjasama dengan PH menambah tiada sebarang masalah untuk mendepani PRU14 dengan tiga penjuru.

“Tiada masalah langsung sama ada dia (PH) nak berpakat atau tak nak berpakat tapi yang penting Islam menang,” katanya.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor ini menambah pendekatan serta strategi PAS dalam menghadapi PRU14 tidak terjejas langsung dek keputusan terbaru PH itu.

“Apa yang diputuskan Presiden PAS itu yang kita ikut.

“KIta tak kisah langsung keputusan apa yang dibuat oleh mereka terhadap kita,” katanya.

 

Sumber – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *