Pasangan nikah di Siam boleh daftar di Perlis, Tak perlu naik Mahkamah.

ARAU – Kerajaan Negeri Perlis menawarkan kepada semua pasangan Islam yang berpoligami di luar negara seperti Thailand untuk mendaftar perkahwinan mereka dengan mudah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

Pasangan yang berkahwin di negara jiran hanya perlu mempunyai dokumen pengesahan mereka telah berkahwin bagi mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini. Dengan kelonggaran yang diumumkan, pasangan terbabit tidak lagi perlu menghadiri proses perbicaraan di mahkamah seperti sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam Perlis, Datuk Khairi Hasan berkata, perkara itu bukan hanya tertakluk kepada pasangan dari negeri ini semata-mata tetapi turut melibatkan pasangan dari negeri lain yang bernikah di negara jiran, mereka juga boleh mendaftar semula pernikahan masing-masing di JAIPs.

“Perlis menawarkan mana-mana lelaki yang berpoligami di luar negara tidak lagi perlu ke mahkamah untuk mendaftar pernikahan mereka di negara ini.

“Cukup pasangan suami isteri itu datang ke JAIPs dan hanya perlu membayar yuran proses pendaftaran nikah sebanyak RM2,020,” kata beliau pada majlis Penyerahan Lembu Korban di Kuarters Veterinar Guar Nangka di sini semalam.

Beliau juga menegaskan, keputusan yang diambil itu bertujuan memastikan umat Islam yang bernikah di luar negara kerana pelbagai sebab, termasuk poligami tidak terbeban dengan urusan mendaftar semula perkahwinan mereka di Malaysia.

“Kerajaan negeri memandang serius hal ini bagi mengelak masalah pada masa akan datang terutama berkaitan urusan waris, dokumentasi anak, harta, persekolahan dan sebagainya,” katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *