Penggunaan Dron diharamkan di di Sukan SEA 2017 #KL2017

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang penggunaan dron di semua kawasan penganjuran Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung 19 hingga 31 Ogos ini.

Bagaimanapun, hanya individu atau organisasi yang memperoleh kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang boleh menerbangkan pesawat tanpa juruterbang itu ketika temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu berlangsung.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata walaupun memperoleh kebenaran daripada pihak DCA, individu atau organisasi terbabit perlu memaklumkan aktiviti itu kepada Unit Udara PDRM, sebelum menerbangkannya.

Katanya, berdasarkan perbincangan, pihaknya berpendapat penggunaan dron tanpa kawalan sepanjang Sukan SEA 2017 boleh memberi risiko keselamatan kepada penonton dan peserta.

“Bagi mengurangkan risiko keselamatan sepanjang penganjuran sukan itu, saya menasihatkan peminat supaya tidak membawa dron tanpa kebenaran kerana polis boleh merampas gajet itu.

“Bagaimanapun, organisasi seperti media boleh mendapatkan kelulusan daripada pihak DCA untuk menggunakan dron tetapi perlu memaklumkannya kepada Unit Udara PDRM,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak penganjuran Sukan Kuda Lasak di Lembah Bidong di sini, hari ini.

Lawatan turut disertai Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Sementara itu, Zulkifli berpuas hati dengan persiapan di semua venue pertandingan Sukan SEA 2017 dan menjamin keselamatan semua pihak sepanjang penganjurannya.

“Saya sudah melawat kelima-lima tempat penganjuran Sukan SEA 2017 dan lokasi ini adalah yang terakhir dan PDRM sangat berpuas hati dengan persiapan dari segi keselamatan yang dirangka.

“Di tempat ini seperti kita maklum, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut menjadi peserta.

“Sehubungan itu, kawalan keselamatan dipertingkatkan dari segala aspek termasuk tempat penginapan,” katanya.

Seramai 350 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai unit akan ditempatkan di lokasi itu, termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69 (VAT69). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *