Petinju muay negara Ain Kamaruddin menang emas tewaskan petinju Thailand

KUALA LUMPUR: Petinju muay negara, Ain Kamaruddin menang bergaya hari ini setelah menumpaskan petinju Thailand, Thachtana Luangphon dalam kategori 54-57kg, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ain yang jelas kelihatan sebak selepas diumum pemenang pingat emas kategori itu berjaya bangkit dari kekalahan beliau pada peringkat separuh akhir kategori sama pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar.

“Alhamdulillah hari ini saya berasa amat berbangga dengan kemenangan ini. Ini adalah hadiah untuk arwah ayah, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Ain, 25, yang baharu kehilangan bapanya minggu lepas akibat barah usus, berkata beliau pada mulanya agak tertekan selepas melihat kekalahan rakan sepasukan Tengku Sharizal Tengku Abd Rahman tetapi beliau tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

Sementara itu, seorang lagi petinju negara, Mohd Ali Yaakub menghadiahkan emas kedua buat Malaysia dalam kategori 51-54kg selepas menundukkan petinju Thailand, Surachai Nakthaem.

Mohd Ali, 31, yang pertama kali bertarung di pentas Sukan SEA berkata beliau mendedikasikan pingat emas hasil perit jerihnya kepada kedua ibu bapa dan keluarga selain peminat yang tidak putus memberi sokongan.

“Strategi arahan jurulatih semasa berlawan dengan Surachai adalah bertahan sahaja sehingga habis pusingan kerana saya tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini,” katanya yang akan berehat sebulan di kampung halaman di Besut, Terengganu selepas berakhirnya Sukan SEA.

Terdahulu, Tengku Sharizal tewas di tangan jaguh Thailand Mana Samchaiyaphum dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak bagi kategori 63.5-67kg.

Seorang lagi petinju negara Muhamad Samsi Mohd Noor turut meraih pingat perak bagi kategori 67-71kg selepas terkandas pada peringkat separuh akhir di tangan petinju Kemboja Meun Sophea pada Isnin.

Jurulatih, Bernard Radin berkata, beliau sejak awal lagi yakin Ain dan Mohd Ali akan dapat membuktikan sesuatu untuk perkembangan sukan muay di negara ini.

Katanya, bagi menghilangkan tekanan saat akhir sebelum menyertai Sukan SEA, pasukannya telah menjalani latihan di Thailand selama sebulan.

“Terima kasih MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) kerana banyak membantu dalam proses kejayaan ini. Alhamdulillah pasukan muay berjaya capai dua sasaran emas yang telah kami tetapkan,” katanya.

Sumber – Bernama/Mstar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *