Sukan Sea 2017, Platform Rakyat Ekspresi Rasa Sayang Kepada Negara

Oleh Beruang Biru

Tinggal beberapa hari lagi sebelum Sukan Sea 2017 yang ke-29 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Kali ini, ia agak istimewa kerana acara sukan berprestij ini diadakan pada bulan kemerdekaan negara.

Sukan Sea 2017 akan berlangsung mulai 17 hingga 30 Ogos. Dengan semangat patriotik dan cintakan negara, marilah kita sama-sama menunjukkannya dengan memberikan sokongan padu kepada negara kita untuk menjuarai kejohanan terbabit.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada 2001, di mana ketika itu negara mengutip 111 pingat emas diikuti Thailand (103) dan Indonesia (72).

Ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah. Sasaran untuk menjadi juara keseluruhan bukan perkara mustahil apatah lagi banyak nama-nama besar yang pernah menjulang nama negara di pentas dunia akan mengambil bahagian.

Meskipun sehingga kini berapa sasaran emas negara belum diumumkan, mungkin 120 emas dilihat memadai untuk kita menjadi juara.

Harapan berkenaan bukan sahaja disandarkan kepada atlet negara, tetapi yang lebih penting adalah rakyat Malaysia sendiri. Melalui sokongan segenap masyarakat, tanpa mengira bangsa dan ideologi politik, hasrat untuk menjadi juara keseluruhan akan tercapai.

Jadikanlah ia sebagai hadiah sempena Hari Merdeka yang akan disambut sehari selepas Sukan Sea 2017 berakhir.

Malah kemeriahan itu akan berterusan dengan sambutan Hari Raya Aidiladha selepas itu.

Namun dalam keghairahan kita memberikan sokongan, jangan pula ada yang menanam sikap buruk, menjadi pakar segala pakar dalam media sosial, seolah-olah mereka yang pandai dalam segala hal.

Jika sebelum ini ramai yang mahu menjadi pakar tak kiralah dalam bidang perundangan, kesihatan, ekonomi dan pentadbiran negara, jangan terkejut kalau selepas ini ramai pakar sukan akan muncul di media sosial dan seperti biasa `peel’ mereka adalah membuat analisis syok sendiri mengenai prestasi atlet Sukan Sea ini.

Bila ini berlaku, kerajaan akan turut dikutuk kononnya gagal melahirkan atlet berwibawa. Jangan bawa perangai buruk sesetengah pemimpin pembangkang ketika Sukan Sea.

`Kepakaran syok sendiri’ ini akan terserlah dalam acara bola sepak, olahraga dan badminton. Kenapa acara tersebut?

Kerana inilah acara yang sering mengundang kutukan ramai terutama bolasepak. Dan sempena Sukan Sea ini juga, yang pastinya akan mengundang ramai atlet serta penyokong luar negara, eloklah simpan sikit `perangai bebal’ yang suka memburukkan negara.

Tidak ada maknanya memburukkan negara dan pemimpin semata-mata mahu menarik perhatian orang luar. Jangan memalukan negara.

Semoga Sukan Sea 2017 ini tidak hanya menjadi medan untuk kita mengutip emas malah menjadi medan kepada rakyat Malaysia untuk menunjukkan sikap sayangkan negara dan yang penting patriotik.

Bersama samalah kita kongsi gambar dan video kejayaan atlet kita di media sosial. Gunakan hashtag ;

#SukanSEA2017
#Bangkitbersama
#Negaraku

Dalam memberi kata kata semangat, pujian dan ucapan tahniah kepada atlet atlet kita yang berjuang mengharumkan nama negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *