Tidak semua kecederaan mampu disembuhkan dengan mengurut

Sepertinya segelintir masyarakat kita telah terbiasa dengan tanggapan bahawa sekiranya kita tercedera atau terseliuh, kecederaan tersebut boleh dipulihkan dengan hanya ‘mengurut’.

Sering kali kita lihat sekiranya seseorang itu mengalami kecederaan yang melibatkan urat lutut disebabkan bermain bola atau futsal dan pasti mereka akan mencari rawatan urut atau menyapu sebarang minyak sapu, gel atau spray yang kononnya boleh menyembuh pelbagai jenis luka.
Bagaimanapun, sejauh mana kah kebenaran bahawa setiap kecederaan seperti terseliuh itu mampu disembuhkan dengan urutan.
Menurut perkongsian dari laman Facebook  Dr. Mahyuddin Mohamed, dapat dijelaskan bahawa tidak semua kecederaan mampu disembuhkan dengan mengurut terutamanya Anterior Cruciate Ligamen atau urat lutut yang paling kerap koyak.
Mari kita baca serba sedikit mengenai perkara ini.
Anterior Cruciate Ligamen atau ACL adalah antara urat lutut (ligamen) yang paling kerap koyak. Ia boleh berlaku akibat kemalangan jalanraya atau terjatuh. Di klinik saya, ia paling kerap disebabkan akibat permainan bola sepak dan futsal.
Sebagaimana Meniscus atau pelapik lutut, ACL yang koyak tidak akan sembuh dengan mengurut. Apatah lagi jika anda hanya sapu dengan pelbagai minyak sapu, gel atau spray yang banyak dipromosi di Facebook dan media sosial yang lain (saya tak perlu sebut nama produk2 tersebut di sini kerana saya pasti anda sedia maklum). Jika produk tersebut kata ia boleh menyembuhkan ACL yang putus, maka bersaksilah bahawa dia adalah seorang PENIPU!
Oleh kerana rakyat Malaysia sangat suka kepada testimoni, saya nak ceritakan testimoni terkini saya.
Ini Farizal. Beliau telah menjalani pembedahan ACL Reconstruction hampir setahun yang lalu di HOSHAS dan kini telah sembuh sepenuhnya. ACL Reconstruction ialah pembedahan penggantian ligamen ACL yang putus melalui beberapa luka kecil di lutut menggunakan teknologi arthroscopy (teropong lutut & kamera).
“Saya dah boleh berlari dah doktor, AlhamdulilLah. Dulu memang longgar sangat lutut saya ni. Syukur sangat saya buat operation saya dengan doktor dulu,” ujar beliau.
“Memang ramai yang promote macam-macam produk kat saya ni, yang sapu, yang spray. Tapi bila saya fikir logik sekali pun, mana boleh spray kat luar, urat kat dalam boleh bersambung balik. Betul tak doktor?”
“Kalau semua rakyat kita ni cerdik dan berfikir macam awak ni kan bagus Farizal. Tapi kat luar sana tu ramai sangat yang takut nak jumpa doktor. Sanggup lagi dengar macam-macam ‘kata orang’, jumpa tukang urut sana, jumpa tukang ketuk sini. Penjual produk dan supplemen memang mudah ambil kesempatan.” balas saya.
“Kami doktor-doktor ni Farizal tidak rugi apa-apa pun. Bukan berkurang pun gaji kami. Kalau betul menjadi bagus la. Kami tumpang gembira, boleh la kurangkan pesakit di hospital.”
Ada yang kata kami takut kehilangan pesakit. Takut kepada perubatan tradisional dan alternatif. Hek eleehh… TAKDE MAKNANYA. Bagi yang suka sangat perubatan alternatif tu, dipersilakanlah pergi beramai-ramai (Nanti datang balik jugak ke hospital)!

#DrMahyuddin
#ACL
#OrtopedikHOSHAS
Dr. Ahmad Mahyuddin Dato’ Mohamed
Pakar Ortopedik HOSHAS
PS
1. Gambar dan video digunakan dgn kebenaran pesakit saya.
2. Dilarang copy&paste atau mengubahsuai apa yang saya tuliskan di sini tanpa kebenaran daripada saya. Nak share dipersilakan.
3. Video: Anterior Drawer Test iaitu pemeriksaan lutut. Jika boleh ditarik melebihi 5mm berbanding lutut sebelah bermakna Ligamen ACL putus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *