10 kanak-kanak dan 4 wanita maut bot bawa pelarian Rohingya karam

DHAKA – BANGLADESH. Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak dan empat wanita maut selepas bot yang membawa pelarian Rohingya karam di Bangladesh hari ini.

“Setakat ini, 14 mayat ditemui di pantai dekat Pantai Inani. Mereka adalah Rohingya,” kata polis tempatan, Fazlul Karim memberitahu AFP.

Saksi dan mangsa yang terselamat berkata bot itu terbalik hanya beberapa kilometer dari pantai selepas kelihatan melanggar objek di dalam air dan dihanyutkan.

“Mereka lemas di hadapan mata kami. Beberapa minit kemudian mayat dihanyutkan ke pantai,” kata Mohammad Sohel, pekedai tempatan.

Sementara itu seorang mangsa terselamat berkata, dia menaiki bot berkenaan ke Bangladesh dari sebuah kampung pesisir pantai di Myanmar lewat Rabu bersama isteri dan anaknya yang terkorban dalam bencana itu.

“Bot berkenaan melanggar sesuatu di dalam air ketika ia hampir ke pantai dan kemudian terbalik,” kata Nurus Salam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa kira-kira 480,000 telah melarikan diri dari Myanmar.

Sumber – sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *