1,400 isteri dan anak suspek militan Daesh di tahan pihak berkuasa Iraq

MOSUL: Pihak berkuasa dilaporkan menahan kira-kira 1,400 isteri dan anak suspek militan Daesh warga asing selepas diusir tentera kerajaan.

Sebelum itu, ribuan ahli keluarga kumpulan pengganas ini telah diarah meninggalkan salah satu kubu terakhir di Iraq.

Menurut jurucakap tentera dan perisikan Iraq, sebahagian besar daripada mereka berasal dari Turki, selain negara bekas Soviet seperti Tajikistan, Azerbaijan dan Russia, selain wanita dan kanak-kanak warga Asia serta beberapa rakyat Perancis dan Jerman.

Kebanyakannya tiba di Mosul sejak 30 Ogos lalu ketika tentera Iraq menyerang militan Daesh di kawasan itu dan mereka kini ditahan di sebuah kem di selatan Mosul.

Seorang pegawai perisikan berkata, pihaknya masih menjalankan proses pengesahan kerakyatan wanita dan kanak-kanak terbabit dengan negara asal masing-masing, memandang sebahagian besar daripadanya tidak mempunyai dokumen asal kewarganegaraan.

“Kami masih menahan keluarga militan Daesh di bawah kawalan keselamatan yang ketat, sementara menunggu arahan kerajaan mengenai cara untuk menangani mereka.

“Kami memberikan mereka layanan baik. Mereka adalah keluarga penjenayah yang membunuh pihak yang tidak bersalah tanpa rasa belas kasihan.

“Namun, hasil siasatan mendapati kebanyakan mereka dikelirukan oleh propaganda jahat Daesh,” kata pegawai pemerintah tentera di Nineveh, Mosul, Kolonel Ahmed al-Taie. – Reuters

Sumber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *