2,500 anggota keselamatan kawal Candi Borobudur

Semarang (Indonesia): Seramai 2,500 anggota keselamatan ditempatkan di Candi Borobudur bagi menghalang tunjuk perasaan yang dirancang diadakan di lokasi tumpuan pelancong itu.

Jurucakap polis, M Iriawan berkata, lokasi di sekitar kuil purba itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap satu, susulan rancangan kumpulan Islam mahu mengadakan bantahan terhadap etnik Rohingya di situ.

Beberapa kumpulan merancang mengadakan tunjuk perasaan bermula hari ini hingga Sabtu ini bagi mengecam kekejaman tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya di negara itu.

“Seramai 2,500 anggota polis dan 300 askar akan membuat kawalan berlapis bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang aksi tunjuk perasaan,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu diambil susulan arahan kerajaan yang mengharamkan sebarang tunjuk perasaan atau bantahan diadakan di kawasan kuil berkenaan.

“Kami sudah memberi amaran kepada kumpulan dan pihak tertentu yang mahu datang ke Borobudur untuk membatalkan niat mereka.

“Mereka boleh mengadakan bantahan di daerah dan kawasan masing-masing yang dibenarkan pihak berkuasa.

“Mari sokong saudara kita di Rohingya dengan memberi bantuan, bukan berhimpun di Borobudur,” tegasnya. – Agensi

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *