5 Perkara yang pasangan perlu ambil tahu sebelum berkahwin

“Wahai, orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya.”
(At-Tahrim: 6)
Membina masyarakat Muslim bukanlah satu perkara yang mudah. Namun begitu, hal ini akan dapat dicapai melalui pembentukan rumahtangga Muslim terlebih dahulu. Bagaimana pula mahu membentuk rumahtangga Muslim?

Berikut dikongsikan lima aspek yang perlu diambil kira oleh setiap Muslim sebelum mereka mahu mendirikan rumahtangga. Ini kerana ia berkait rapat dengan pembentukan masyarakat Muslim yang bakal dibina kelak.

#1 – Berniat Kerana Allah SWT

Sebelum seseorang mahu mendirikan rumahtangga, sebaiknya dipasakkan dalam diri terlebih dahulu dan niatkan bahawa perkahwinan yang bakal dibina itu adalah semata-mata kerana Allah SWT. Juga, mahu melengkapkan agama serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Rasulullah saw bersabda;

“Sesiapa yang berkahwin bererti dia telah menyempurnakan sebahagian dari agamanya, maka dia hendaklah bertakwa kepada Allah…”
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

#2 – Bertujuan Baik

Berkahwin bukanlah hanya untuk sehari dua sahaja, tetapi berusaha untuk menjaganya hingga ke akhir hayat. Justeru, niatkan juga perkahwinan yang bakal dibina itu adalah bertujuan untuk memelihara kehormatan diri, menjaga pandangan mata, melahirkan zuriat keturunan yang soleh dan solehah serta mahu mewujudkan individu Muslim dalam setiap ahli keluarga. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda;

“Allah SWT berhak menolong tiga golongan; orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba mukatib yang ingin membayar harga tebusannya dan orang-orang yang berkahwin dengan tujuan untuk memelihara kehormatan dirinya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

#3 – Memilih Pasangan Hidup

Pasangan yang dipilih itu akan menjadi rakan kongsi dan teman dalam kehidupan kita kelak. Justeru, dalam aspek ini Rasulullah SAW bersabda;

“Kahwinilah yang sekufu (dengan kamu).”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Ini kerana sekufu (setaraf) atau tidak adakala boleh menjadi bahan juga punca pergaduhan dalam rumahtangga. Bahkan, menjadi buah mulut serta pertikaian pada masa akan datang. Sekufu menurut mazhab Imam Syafie adalah merangkumi lima perkara iaitu agama, keturunan, merdeka, kerjaya, selamat dari sebarang kecacatan. Bahkan, mutakhir ini para fuqaha’ turut mengambil aspek usia dalam hal sekufu.

Namun begitu, tidaklah haram sesebuah pernikahan atau perkahwinan jika tidak sekufu. Ini kerana, terdapat juga rumahtangga yang harmoni sekalipun ada perbezaan dari pelbagai sudut. Ia hanyalah sebagai penanda aras bagi mengelakkan kekeruhan rumahtangga itu kelak. Segalanya terletak dari dalam diri kita sendiri serta keredaan pasangan untuk saling menerima.

#4 – Agama

Dal hal ini, Baginda Nabi SAW juga turut mengingatkan kepada kita seperti berikut;

“Janganlah kamu mengahwini perempuan kerana kecantikannya. Boleh jadi kecantikan mereka akan menjadikan mereka hina. Jangan kamu mengahwini perempuan kerana harta mereka, kerana boleh jadi harta mereka akan menjadikan mereka bersikap zalim, tetapi kahwinilah mereka kerana agamanya. Hamba perempuan yang cacat telinga dan hodoh tetapi beragama itu adalah lebih baik.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)

#5 – Berusaha Jauhi Perkara Yang Dilarang

Dalam menjalinkan perhubungan, sebaiknya masing-masing berusaha untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang ditegah oleh syarak. Ini kerana apabila berdua, yang ketiga adalah syaitan. Tugas syaitan tidak lain adalah menghasut dan menggoda anak-anak Adam untuk mengikut bisikannya ke arah kejahatan.

Tidak mustahil jika hari ini statistik anak luar nikah kian bertambah. Bagi mereka yang sudah pun menjalinkan ikatan dengan pasangan yang dipilih untuk dijadikan teman hidup, bersabarlah menghadapi ujian ini sebelum ke arah ijab qabul yang akan menghalalkan perhubungan tersebut. Kemanisan daripada hubungan yang halal itu lebih indah kerana segalanya dinilai sebagai ibadah.

Apapun, semoga kita dapat sama-sama berusaha untuk meningkatkan kualiti diri, keluarga seterusnya menjadi ahli masyarakat yang berjiwa Islam di mana-mana jua kita berada. Biarlah kita menjadi asing di mata manusia kerana menerapkan Islam dalam diri serta cara hidup, asalkan kita tidak asing pada pandangan Allah SWT. Moga bermanfaat untuk penulis juga pembaca semua. Wallahua’lam.

Sumber – tazkirah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *