American Horror Story: Cult, Kisah Seram Yang Diinspirasikan Dari Malam Sebelum Pilihanraya Amerika Syarikat

Sejak usahawan terkenal Donald Trump memegang jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat, ahli politik itu sering menjadi mangsa jenaka program televisyen, filem dan lagu.

Jadi, tidak mengejutkan apabila suasana sebelum dan selepas pilihanraya Amerika Syarikat tahun lalu menjadi inspirasi musim ketujuh American Horror Story: Cult yang mula bersiaran di saluran FX, semalam.

Barisan pelakon yang kembali memeriahkan American Horror Story: Cult ialah Sarah Paulson, Evan Peters, Cheyenne Jackson, Adina Porter, Frances Conroy, Mare Winningham, Emma Roberts dan Chaz Bono.
Turut kembali ‘mengganas’ badut bernama Twisty yang pernah beraksi dalam American Horror Story: Freak Show dan watak itu dijayakan John Carroll Lynch.

Bagaimanapun, penyanyi Lady Gaga tidak membuat penampilan semula pada musim ini kerana terikat dengan komitmen lain.

Ketika ditemu bual E! Online, pencipta American Horror Story, Ryan Murphy mengesahkan kisah siri popular sebanyak 11 episod itu bermula pada malam pilihanraya Amerika Syarikat.

“Malam pilihanraya mengundang rasa seram kepada orang ramai. Siri ini seronok dan penonton pasti menyukainya,” katanya.

Enggan mendedahkan lebih banyak maklumat, Murphy yakin American Horror Story: Cult dapat menarik perhatian lebih ramai penonton.

Berlatarkan suasana pinggir bandar Michigan, siri seram itu mamaparkan kisah sepasang lesbian, Ally dan Ivy serta anak lelaki mereka.

Hubungan pasangan itu mula retak dan masalah fobia Ally terhadap badut kembali menghantuinya.

Kekecewaan Ally dan Ivy terhadap kekalahan Hillary Clinton turut menghantui anak mereka, Oz yang resah memikirkan adakah kedua-dua ibunya itu masih dibenarkan hidup bersama.

Di lokasi lain pada malam sama, kejayaan Trump membuat lelaki bermasalah bernama Kai Anderson menghias diri seperti badut dan mula menganggu penduduk setempat.

Berpewatakan agresif, Anderson kemudian berkempen bagi mengisi jawatan sebagai ahli majlis bandar selepas individu sebelumnya dibunuh dengan kejam.

Pada masa sama, Ally sering menjadi mangsa gangguan Anderson, namun Ivy beranggapan pasangannya itu paranoid.

Saksikan tiga episod pertama American Horror Story: Cult yang memberi gambaran situasi Amerika Syarikat di bawah pemerintahan Trump dan kemunculan beberapa badut yang menjadi pembunuh.

 

sumber : mymetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *