Anas Zul Amirul Sidi menghadiahkan pingat emas sulung negara

SESUDAH kecewa dengan saingan hari pertama, air mata Anas Zul Amirul Sidi akhirnya tumpah di kolam renang sejurus selepas menghadiahkan pingat emas sulung negara hari ini.

“Emas ini untuk ayah (Zul Amirul Sidi Abdullah).

“Beliau adalah idola saya kerana sebelum ayah saya jadi perenang negara, ayah saya susah tapi beliau mempunyai semangat tinggi hinggalah menjadi perenang berjaya,” kata perenang berumur 17 tahun itu.

Mengimbau kembali ketika dia berusia lima tahun, Anas berkata, ayahnya pernah mencampak dia ke Sungai Sarawak.

“Saya akui ketika kecil dulu saya takut air tapi ayah sayalah yang banyak memberi dorongan sejak kecil,” katanya.

Hari ini, Anas beraksi cemerlang apabila menghadiahkan emas acara 100 meter gaya bebas S14 (masalah pembelajaran) lelaki dan juga mencipta rekod temasya dengan masa 59.79 saat diikuti perenang Singapura, Benson Seng (1:01.38s) dan seorang lagi perenang negara, Zadrian Chan (1:01.70s).

Rekod temasya sebelum ini milik Benson yang dirakam di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2014 dengan catatan 1:02.88s.

Mengenai persembahan kurang memuaskan dalam acara 200m gaya bebas S14 semalam, Anas menjelaskan dia mengalami sakit perut semalam.

“Saya minta maaf kerana prestasi tidak bagus semalam kerana saya memang rasa sukar bersaing dalam acara 200m namun hari ini saya dapat beraksi baik dalam acara kegemaran saya,” katanya yang menyertai temasya dwitahunan itu buat kali pertama.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *