Azmin Ali cetek ilmu pelaburan, bidas Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno berkata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cetek ilmu pelaburan apabila mendakwa Malaysia menghantar wang rakyat ke luar negara susulan perjanjian berbilion dolar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata sudah tiba masanya pembangkang mengamalkan politik berteraskan idea dan intelek, bukannya mengejar populariti dengan retorik dan kebencian.

“Pelaburan Malaysia ke AS atau mana-mana negara berekonomi besar adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah lama membuktikan kita mampu melangkaui politik murahan dan terus berkhidmat kepada rakyat melalui kestabilan polisi ekonomi dan hubungan diplomatik yang utuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Belia & Sukan itu berkata, sebagai negara yang mengamalkan konsep ekonomi terbuka, Malaysia menerima dan membuat pelaburan dengan negara luar.

Beliau berkata, pada 2016 Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM47.2 bilion yang menunjukkan peningkatan sebanyak 20% berbanding 2015.

Bagi separuh pertama 2017, Malaysia mencatat aliran masuk bersih (FDI) bernilai RM25.3 bilion ke dalam pelbagai sektor terutamanya sektor perkhidmatan, pembuatan dan perlombongan.

Malaysia juga katanya, melakukan pelaburan di luar negara setiap tahun dalam kedua-dua jenis pelaburan iaitu pelaburan langsung (direct investment) dan pelaburan portfolio.

“Kedudukan pelaburan antarabangsa kita berjumlah RM1.7 trilion pada suku ke-2 2017 yang menunjukkan syarikat Malaysia melabur, memilik dan mendapat pulangan hasil daripada aset bernilai RM1.7 trilion dalam bentuk aset di luar negara,” kata Khairy.

Khairy berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur hampir AS$7 bilion dalam pasaran ekuiti AS.
“Dengan penambahan sebanyak AS$3 hingga 4 bilion yang dijanjikan, KWSP dijangka terus mendapat manfaat daripada pelaburan di pasaran AS yang cemerlang.

“Kini sudah 20% daripada RM711 bilion aset di bawah pengurusan KWSP berada di luar negara yang menunjukkan kepelbagaian pelaburan mereka,” kata Khairy.

Semalam, Azmin memetik Malaysiakini berkata Najib tidak boleh menggadaikan ekonomi negara hanya untuk bergambar dengan Presiden AS Donald Trump.

Beliau berkata langkah Najib untuk melabur sehingga $24 bilion (RM100 bilion) untuk membantu “mengukuhkan ekonomi AS” adalah di luar pemahaman.

“Sungguh mengejutkan Najib mahu ‘mengukuhkan’ ekonomi terbesar dunia dengan RM100 bilion wang Malaysia. Tiada peluang bergambar bernilai sebanyak ini,” kata Azmin.

 

Sumber – Freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *