Banyak anak ikan bilis jadi jerung kerana lebih berkuasa berbanding ketua sebenar – Hasnita

SEREMBAN – Bekas Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu, Hasnita Hishamudin mengisytiharkan dirinya keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Kata Hasnita, keputusan itu dibuat selepas beliau tidak lagi mempercayai pucuk pimpinan yang dakwanya membawa banyak pergolakan dalaman, selain wujudnya amalan kronisme.

Dakwanya, pada awal penglibatannya dengan Bersatu, semuanya berjalan lancar dan tenang, sehinggalah ada ‘puak’ baharu yang masuk lalu mengucar-ngacirkan keadaan.

“Saya menghabiskan banyak masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan wadah perjuangan Parti Bersatu, dengan harapan ia akan menjadi sebuah parti yang jauh lebih baik daripada Umno.

“Namun impian saya berkecai apabila masih wujud lagi amalan kronisme dan pilih kasih melampau dalam parti ini sehinggakan ada banyak elemen-elemen jijik yang dilakukan semata-mata mahu dapatkan jawatan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Turut hadir bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Mengulas lanjut, Hasnita mendakwa, banyak elemen kotor masuk ke dalam parti itu oleh mereka yang rapat dengan pemimpin tertinggi, mengatur orang-orang mereka demi menjatuhkan orang lain.

“Jelas sekali ramai yang masuk ke dalam Bersatu ini hanya mementingkan jawatan daripada memikirkan permasalahan rakyat dan ini sama sekali bertentangan dengan propaganda yang dimainkan ketika penubuhan parti pada awal dulu,” ujarnya.

Malah tambah Hasnita, dia yang dilantik 5 April lalu, banyak dokumen dan statistik keahlian parti Bersatu dirahsiakan daripada barisan majlis tertinggi, hanya orang tertentu sahaja boleh akses maklumat itu.

Katanya, sehingga kini dia sendiri tidak tahu jumlah keahlian Srikandi seluruh Malaysia,

berikutan statistik tersebut dirahsiakan dengan alasan tidak mahu menunjukkan kelemahan parti.

“Bersatu adalah parti yang bermasalah, pergolakan dalaman berlaku di setiap negeri, dan kami hairan mengapa orang yang berkebolehan ditolak tetapi mereka yang tidak berkualiti diangkat tinggi.

“Banyak anak-anak ikan bilis menjadi jerung kerana lebih berkuasa berbanding ketua sebenar.

“Akibat tidak tahan dengan pergolakan dalaman itu, saya bertekad untuk tinggalkan parti ini sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya.

Dakwa Hasnita, dijangka lebih ramai ahli Srikandi Bersatu seluruh negara akan mengikut keputusannya keluar parti dalam masa terdekat.

 

Sumber – Sinar Online/Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *