Bekas Ketua Wira Perkasa dakwa nasib peniaga melayu diabaikan oleh UMNO di Pulau Pinang.

Bekas Ketua Wira Perkasa Parlimen Bagan, Mohd Ismail Jalal Khan mendakwa pimpinan Umno dan BN gagal memperjuangkan nasib peniaga Melayu di Pulau Pinang, tetapi sebaliknya ia hanya gimik yang digunakan sebagai propaganda untuk mendapat sokongan semata-mata.

Beliau yang juga merupakan mantan Ahli Jawatankuasa Wira Perkasa Negeri Pulau Pinang, memberikan bukti iaitu bangunan Kompleks Bagan di Jalan Bagan Luar, Butterworth yang dimiliki oleh JKP Sdn Bhd milik kerajaan persekutuan tidak berfungsi.

Malah bangunan yang dulunya menjadi kemegahan peniaga Melayu kini suram dan tidak lagi dapat dibanggakan kecuali terbiar dan sepi.

“Bangunan ini berada ditengah bandar Butterworth dan boleh memberi peluang yang baik kepada orang Melayu untuk meneruskan perniagaan.

“Dahulu ia juga menjadi Pejabat Imigresen dan pusat perniagaan peniaga kecil, tetapi kini dibiarkan sehingga menjadi tempat terbiar dan menyakitkan mana memandang.

“Sepatutnya pimpinan Umno Bahagian dan Pulau Pinang mengambil inisiatif bagi menghidupkan semula kompleks ini dengan memberi wajah baru serta mengenakan kadar sewa yang munasabah bagi memberi peluang peniaga kecil untuk berniaga, ” jelasnya.

Namun begitu, katanya tiada langsung usaha yang diambil oleh mana-mana pimpinan Umno di Pulau Pinang bagi memberi nafas baru, agar kompleks yang menjadi gajah putih sejak puluhan tahun yang lalu itu boleh dimanfaatkan untuk orang Melayu dan peniaga kecil.

Tegasnya lagi, begitu juga dengan Bazar Perdana di Bandar Perda, Bukit Mertajam yang telah siap sejak 2004 lagi.

Sebaliknya ia telah menjadi projek gajah putih yang merugikan lebih 800 peniaga Melayu yang mengharapkan bangunan tersebut dapat dimanfaatkan apabila ia beroperasi.

“Yang lebih menghairankan bagaimana bangunan yang tersergam indah dan megah ini telah didakwa tidak selamat untuk diduduki sebelum ini sehingga merugikan ramai peniaga.

“Pelbagai aduan dan laporan telah pun dibuat termasuk kepada SPRM oleh individu dan juga pertubuhan yang ada supaya dapat menyiasat bagaimana bangunan yang tidak selamat diluluskan untuk diduduki sebelum ini.

“Akibatnya peniaga menanggung kerugian apabila ada antara mereka yang menghabiskan wang pencen dan juga simpanan KWSP mereka bagi membeli bangunan ini untuk dijalankan perniagaan, ” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *