Beli buaya letak di kolam hiasan

Chengdu (China): Penduduk di satu kawasan perumahan di bandar ini gempar apabila seorang jiran membeli buaya untuk dimakan sebelum meletakkan haiwan itu di kolam hiasan.

Buaya sepanjang satu meter itu diletakkan di kolam di perumahan Huafu Shahe di sini pada pagi Isnin lalu oleh seorang lelaki.

Lelaki itu memberitahu penduduk, buaya itu hanya diletakkan sementara di kolam berkenaan kerana dia mahu memakannya bersama rakannya pada waktu malam.

Bagaimanapun, pengurus kawasan perumahan itu mengarahkan lelaki itu mengambil semula buaya berkenaan selepas menerima aduan penduduk.

Lelaki itu dipercayai tidak melanggar sebarang undang-undang kerana memakan daging dan menternak buaya secara komersial adalah dibenarkan di China.

Sementara itu, seorang penternak buaya, Xu Furong memberitahu, reptilia yang dibeli lelaki itu adalah dari spesies buaya siam, dianggarkan berusia dua tahun dan seberat 10 hingga 15 kilogram.

Katanya, buaya itu adalah antara spesies terancam di dunia dan memiliki rahang dan ekor yang kuat.

“Buaya ini sangat bahaya dan tidak harus diletakkan di kawasan awam kerana ia boleh mencederakan orang ramai,” katanya.

Buaya siam adalah haiwan dilindungi tetapi ia mempunyai permintaan yang tinggi di China di mana daging reptilia itu dijadikan hidangan istimewa.

Kulit haiwan berkenaan juga digunakan untuk menghasilkan beg tangan mewah dan barangan kulit yang lain.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *