‘Berapa banyak kerusi boleh dimenangi PPBM?’

Setahun pertubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyaksikan pelbagai pergolakan dan insiden keluar parti beramai-ramai tidak termasuk insiden kekecohan ‘bunga api’ sewaktu program Nothing To Hide 2.0 anjuran sayap pemuda parti, Armada.

Hari ini, pergolakan terus berlaku apabila Penolong Setiausaha Srikandi PPBM Hasnita Hishamudin mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Kata Hasnita, tindakannya keluar parti disebabkan oleh amalan kronisme melampau dalam parti – alasan sama menyebabkan pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman keluar parti April lepas yang masih belum selesai sungguhpun PPBM sudah setahun beroperasi.

Ulang tahun di Muar, Johor, itu kata kolumnis Tan Tian Yan dari media berbahasa Cina, Sin Chew Daily, suram lantas mempertikaikan kemampuan PPBM diteraju oleh bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha PPBM memecah tembok UMNO.

Menghadiri sendiri majlis sambutan berkenaan, Tan berkata sambutan ulang tahun itu tidak ubah seperti majlis anjuran UMNO, cuma bezanya adalah nama dan logo parti.

Johor merupakan negeri Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Muar merupakan negeri kelahiran dan tempat dibesarkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Selepas bertahun-tahun menempa nama di Pagoh dan menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan, Muhyiddin dikatakan akan kembali ke Muar pada PRU14 akan datang, kata Tan.

“Parti memilih untuk menganjurkan sambutan ulang tahun di Muar, dan Mahathir dan Mukhriz sejak awal lagi menerusi akar umbinya dan media sosial menggesa orang ramai untuk ke Muar bagi menyokong parti.

“Sebuah pentas dan khemah dibina ditengah-tengah dataran bandar, dan program sepanjang hari telahpun dirancangL kelas memasak, ceramah kesihatan, pertandingan melukis, persembahan kebudayaan, pertandingan bola sepak mini, pertandingan menghias motosikal, dll., cubaan untuk mengambil hati semua orang dari usia muda sehingga dewasa.

“Tetapi, cuma sekitar dua hingga tiga ratus hadirin sahaja sepanjang waktu pagi, termasuk pekerja dan ahli parti.

“Rakan pemerhati saya katakan, “Aktiviti ini sama seperti UMNO. Ciplak.”

Majlis bertambah suram selepas ramai dari kalangan hadirin meninggalkan majlis selepas menerima hadiah pertandingan sebelum ketibaan Pengerusi dan Presiden parti.

Menjelang tengah hari, Muhyiddin dan Dr Mahathir tiba pada majlis berkenaan dan tidak lama kemudian mula berucap bagi ‘menghangatkan’ suasana.

Seperti kebiasaannya kata Tan, ucapan Pengerusi dan Presiden PPBM itu tetap berkisar mengenai isu sama, 1MDB dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sementara PPBM mahu menggantikan UMNO, mereka masih gagal untuk keluar daripada bayang-bayang UMNO. Ideologi yang kosong dan perebutan kuasa hanya dapat memenangi beberapa orang kecewa tetapi tidak akan memperoleh sokongan masyarakat Melayu arus perdana.

“Berapa banyak kerusi boleh dimenangi PPBM? Bolehkah mereka mencetuskan tsunami Melayu? Adakah akan berlaku perubahan kerajaan kali ini?

“Saya tidak akan membuat apa-apa kesimpulan di sini, tetapi saya percaya anda mempunyai jawapannya,” kata Tan lagi.

 

Sumber – Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *