“Bila nak kahwin lagi?” letih jawab soal jodoh

Jodoh, rezeki dan ajal maut semuanya di tangan tuhan. Siapa kita untuk menentukan semuanya. Jika sudah tertulis begitu maka harus lah terima dengan hati yang redha.

Kadang kala kita memerlukan masa untuk kita membuka hati untuk sesuatu perkara yang baharu. Walaupun pahit, ia perlu diteruskan. Mesti ramai di antara kita yang tahu mengenai seorang suami penyayang yang menjaga isterinya ketika menghidap kanser. Isterinya kini telah tiada.

Ikuti perkongsian dari Kamal Effendi mengapa beliau tidak mahu dengar lagi soalan “bila nak kahwin lagi?”

Letih menjawab soal jodoh seolah itu sahaja yang gayanya seorang duda meletakkan fikirannya.

Isteri saya itu, datang dalam hidup saya tiada saya benar mencari. Segalanya kerja Tuhan. Saya sejujurnya hanya berdoa dan membaikki apa yang ada pada saya sendiri sebagai seorang muslimin.

Tidak pernah meletak pengharapan pada seorang muslimat, jauh sekali membayangkan diri sendiri akan menjadi seorang suami.

Allah datangkan, mungkin melalui doa isteri, dan doa sendiri yang terkadang sepi benar mahu mengenal erti mencintai, dan dicintai. Dari hari pertama mengenali, sehingga usai akadnya kami, Allah senangkan kami. Mungkin kerana agama dipertaruhkan oleh kami, Allah sudi memandang sisi agar kami disatukan dan diberkati.

Hari pertama bergelar suami, hari pertama mula mencintai. Nikmat satu demi satu Allah beri. Cinta, indah, begitu indah antara suami isteri. Antara perkara yang paling saya rindui. Seolah hari-hari ada syurga menanti bila beristeri. Tempat meluahkan kasih, menabur jasa dan membina barakah agar hidup diredhai.

Apakan daya, yang indah tak selamanya bersemi. Yang paling abadi itu, agama itu sendiri. Terasa seolah syurgawi yang selama ini dibina, ranap dipukul ombak ganas, ditinggal tak bertali.

Katanya lelaki, haruslah menjadi sebagaimana lelaki. Simpan sedihnya, terus mencari pengganti. Tapi itu bukan janji saya pada diri. Saya tidak memerlukan pengganti. Datanglah jodoh mungkin kemari, sebagai dirinya sendiri. Bukan pengganti, bukan bayangan arwah isteri.

Saya khuatir dengan diri sendiri, oleh itu saya masih lagi tidak mencari. Cukuplah seperti sebelum ini, doa sahaja saya titipkan andai itu yang ditulis Illahi, jodoh saya ada lagi.

Sekian nukilan, jangan ditanya; bila nak kahwin lagi?

Sumber- Kamal Effendi/siakapkeli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *