China sokong tindakan Myanmar terhadap etnik Rohingya

YANGON – China didakwa menyokong tindakan keras Myanmar terhadap pejuang etnik minoriti Rohingya ketika Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyifatkan operasi tentera negara itu yang menyebabkan hampir 400,000 orang penduduk Islam melarikan diri ke Bangladesh sebagai penghapusan etnik.

Akhbar Global New Light of Myan­mar milik kerajaan Myanmar memetik duta China, Hong Liang, sebagai memberitahu pegawai tertinggi kerajaan bahawa pendirian China mengenai serangan di Rakhine adalah jelas ia adalah urusan dalaman Myanmar.

“Serangan balas pasukan ke­selamatan Myanmar terhadap pejuang Rohingya dan tindakan kerajaan membantu rakyatnya (bertindak keras ke atas etnik Ro­hingya) sangat dialu-alukan,” kata duta itu seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Bagaimanapun di PBB di New York, China mengambil nada yang berbeza apabila menyertai Majlis Keselamatan PBB untuk menzahirkan kebimbangan mengenai laporan kekejaman di Ra­khine dan menggesa langkah segera untuk menamatkannya.

China kini bersaing dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mencari pengaruh di Myanmar yang mula membuka pintu ekonominya kepada luar.

Sementara itu, portal berita BBC melaporkan, ratusan ribu pelarian Rohingya di Bangladesh kini berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan ketika sebuah badan amal Qatar memperuntukkan sebanyak AS$1.35 juta (RM5.67 juta) untuk melaksanakan projek pembinaan pusat pemindahan dan penghantaran keperluan asas kepada mereka.

Ribuan etnik minoriti Islam tersebut mengakui tidak dapat berhubung dengan mana-mana agensi bantuan antarabangsa sebaliknya hanya bergantung kepada wang serta bekalan sendiri selepas nama dan butiran mereka dicatat di kawasan sempadan Bangladesh.

Mereka terpaksa tidur di tempat terbuka walaupun hujan lebat dan berebut-rebut mendapatkan makanan yang dilemparkan oleh trak bantuan ekoran kekurangan koordinasi dan sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Bangladesh terhadap badan antarabangsa yang beroperasi di kawasan penempatan pelarian.

Menurut peraturan kerajaan Bangladesh, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) hanya dibenarkan beroperasi di dua kem pelarian rasmi di Kutupalong dan Nayapara yang menempatkan sekitar 20,000 hingga 30,000 pelarian sahaja.

Qatar Charity mengesahkan telah menyalurkan dana tersebut untuk membina 40 tempat perlindungan kecemasan dan menghantaran bekalan makananan serta keperluan asas lain dengan kerjasama PBB, Organisasi Bantuan Islam Antarabangsa Britain dan institusi kemanusiaan serantau.

Awal minggu ini, Qatar Cha­rity turut mengumumkan akan membiayai pembinaan 420 buah rumah sementara untuk me­nempatkan etnik Rohingya yang berpindah di tiga buah wilayah di Rakhine dan Kagan.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyuarakan kebimbangannya me­ngenai keadaan di Rakhine dan menggesa tindakan tegas diambil oleh Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi dalam perbualan te­lefon semalam.

Kerajaan Kanada juga telah menjanjikan dana sebanyak sejuta dolar Kanada (RM3.45 juta) untuk menghantar bantuan kemanusiaan di negeri Rakhine yang terletak di pantai barat Myanmar.

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *