Delegasi Malaysia sifatkan lawatan kerja Najib ke AS adalah yang terbaik

KUALA LUMPUR: Delegasi Malaysia menyifatkan lawatan kerja perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) atas jemputan Presiden negara itu Donald J. Trump adalah yang terbaik.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata ia juga merupakan satu kebanggaan seluruh delegasi yang terlibat kali ini.

“Walaupun saya pernah me­ngiringi Datuk Seri Najib menerusi beberapa lawatan dengan Raja, Presiden dan Perdana Menteri yang lain, namun lawatan kerja AS kali ini mungkin boleh disifatkan sebagai terbaik.

“Hanya jika rakyat Malaysia dapat melihat dengan sendiri kualiti yang dicapai dalam pertemuan tersebut hasil daripada pengendalian Perdana Menteri yang diberi penghormatan oleh Presiden AS dan delegasi beliau, akan membuatkan anda berasa bangga sebagai rakyat negara ini.

“Keadaan ini jarang berlaku atau sesuatu yang tidak pernah setakat ini apabila tiga pegawai tertinggi AS dan ahli Kabinet kanan turut berada di sana.

“Trump bukanlah seperti yang digambarkan dalam laporan berita, malah Trump menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin sebuah ne­gara berkuasa besar dan Perdana Menteri berjaya diberikan peng­hormatan oleh pemimpin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelas Anifah, Trump juga meminta pandangan Datuk Seri Najib berhubung isu serantau dan antarabangsa selain mengarahkan ahli Kabinetnya untuk mengikut pendekatan yang telah dilakukan oleh Malaysia.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan berasa syukur kerana diberi penghormatan untuk bersama beliau dalam hari bersejarah itu dan anda boleh melihat ia satu pertemuan yang bermakna ke­rana Presiden AS itu memberikan sepenuh perhatian kepada Datuk Seri Najib,” ujarnya.

Perbincangan Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berlangsung di White House dalam satu pertemuan yang bakal membuka lembaran baharu selepas 60 tahun Amerika Syarikat menjalinkan hubungan dua hala dengan satu daripada rakan strategiknya di Asia Tenggara itu.

 

Sumber – Astro AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *