Didik hati kekal bersabar ketika anak meragam jangan cepat menjerit

Ketika anak meragam ibu dan ayah kena belajar erti sabar. Ingat. jangan cepat menjerit apatah lagi naik tangan.
Fahami cara untuk ibu dan ayah kawal emosi yang sedang marah. Ikuti teknik didik hati agar kekal bersabar ini.

1. Kuasa pelukan
Peluk dan usap kepala anak-anak secara perlahan-lahan bagi memberikan maksud sayang dan kasih kepada mereka. Ketika peluk, terangkan kepada mereka apa yang telah berlaku dan mengapa tidak boleh buat. Wujudkan perhubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak. Komunikasi berkesan mudah dicapai apabila hubungan kekeluargaan itu rapat.

2. Jadi teman kepada anak-anak
Anak-anak perlu diberi peluang mengutarakan idea mereka dan perasaan. Kadangkala ibu bapa tak selesa jika anak-anak meluahkan perasaan tak puas hati atau mengkritik atau komen kepada mereka. Cuba dengar dulu apa yang ingin disuarakan itu dan beri tumpuan yang serius dengan luahan itu. Tunjukkan minat anda untuk mendengar penjelasan mereka.

3. Dekati mereka dengan penuh kasih sayang
Meskipun mereka menguji kesabaran anda. Berusaha memujuk hati mereka dan bercakap secara harmoni dengan mereka. Ketahuilah bahawa anak-anak memerlukan perhatian anda. Sesetengah mereka rasa nyaman dan tenang jika anda tetap memujuk mereka.

4. Berkongsi hobi dan minat
Perkongsian membolehkan anak-anak berasa selesa untuk berdamping dengan ibu bapa. Segala permasalahan dibincangkan bersama dan mengikut peraturan dalam keluarga.

5. ‘Top up’ ilmu dan kemahiran keibubapaan
Pelajari dengan lebih mendalam menerusi sumber yang pelbagai sama ada secara lisan mahupun bukan lisan. Persekitaran yang positif mampu membangkitkan emosi yang sihat dan progresif. Maka pelajarilah ilmu keibubapaan dengan ikhlas dan tanpa jemu.

6. Pujuk anak-anak dengan intonasi
Pujuklah anak-anak dengan intonasi suara dan perkataan yang bersesuaian. Tegur kesilapan secara berhemah dan menghormati privasi anak-anak. Elakkan daripada memarahi atau menegur anak-anak di hadapan rakan-rakannya atau orang lain. Tindakan tersebut mungkin menyebabkan anak-anak hilang yakin diri serta malu dengan mereka yang lain.

7. Perbincangan keluarga
Biasakan mengadakan perbincangan keluarga dalam suasana santai dan harmoni. Pilih waktu sesuai untuk berbincang tentang perkara-perkara melibatkan keluarga. Biasakan anak-anak dengan kaedah ini bagi membentuk disiplin diri serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sumber – Mingguanwanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *