Dyana mungkin sudah tak ada peluang untuk bertanding semula

PETALING JAYA – Dyana Sofya Mohd. Daud mungkin tidak akan dicalonkan semula oleh DAP untuk bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan, malahan beliau sudah kehilangan keyakinan daripada parti‎ pembangkang itu.

Dyana kecundang dalam pilihan raya kecil di Teluk Intan yang menyaksikan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong menang dengan majoriti tipis sebanyak 238 undi.

Sinchew Daily melaporkan, DAP Teluk Intan bercadang meletakkan orang baharu untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di Teluk Intan.

Keadaan itu juga mendorong parti itu meletakkan ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu Raja Naidu untuk bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan.

Walaupun Dyana dilihat sebagai “calon tetap” Teluk Intan sebelum ini, tetapi skandal membabitkannya dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari telah menjejaskan imejnya.

Walaupun isu itu dianggap sudah tenggelam, tetapi parti lawan dijangka akan terus membangkitkannya jika Dyana diletakkan untuk bertanding.

DAP pusat pada masa ini juga mendapati Dyana kurang sesuai untuk bertanding.

“Imej calon ialah satu hal, tetapi kami bimbang ia akan beri kesan kepada seluruh parti. Ini bukan pilihan raya kecil, tetapi pilihan raya umum,” kata sumber.

 

Sumber – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *