Eddy Bernard rangkul pingat emas acara 100 meter

SELEPAS merangkul pingat emas menerusi acara 100 meter semalam, Eddy Bernard (gambar) sekali lagi cemerlang apabila meraih pingat emas kedua menerusi acara lompat jauh T37, Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para Kl2017), di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Lebih manis, atlet berusia 16 tahun itu juga berjaya memecahkan rekod peribadinya dalam acara lompat jauh T37, selepas melakukan lompatan sejauh 5.76m berbanding sebelumnya hanya 5.71m.

Pingat perak dimenangi atlet Vietnam, Truong Tan Hien yang merekod lompatan sejauh 5.47m, manakala gangsa milik rakan senegaranya Nguyen Hu Thinh (4.48m).

“Ini pencapaian yang begitu baik dan saya mahu menghadiahkan kedua-dua pingat emas kepada keluarga dan jurulatih yang banyak membantu hingga berjaya di temasya ini,” katanya.

Mengulas mengenai persembahannya sebentar tadi, atlet berasal dari Beluran, Sabah itu berkata, dia tidak begitu gemuruh ketika beraksi kerana hanya empat peserta menyertai acara itu.

“Rahsia utama kejayaan hari ini adalah kerana saya terapkan di dalam minda bahawa saya hanya sedang berlatih seperti biasa bersama rakan sepasukan.

“Hasilnya saya gembira kerana dapat melakukan lompatan sejauh 5.76m dan memecahkan rekod peribadi pada percubaan ketiga,” katanya.

Kini atlet olahraga para negara itu mula memasang impian lebih besar untuk beraksi di temasya Sukan Para Asia Jakarta 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Eddy menegaskan, dia tidak akan berhenti berlatih untuk memastikan layak ke Sukan Para Asia tahun depan dan Paralimpik Tokyo yang tidak sampai tiga tahun saja lagi.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *