Fatwa Mahathir – Pemimpin dan Penyokong PAS berdosa sokong BN

Sebelum ini, PAS dianggap sebagai penghapus dosa didalam Pakatan pembangkang, tapi kini lain pula jadinya setelah parti tersebut keluar dan mesra dengan kerajaan memerintah.

Bukan sahaja PAS kini dianggap sebagai bersubahat dengan kejahatan, malah pemimpin-pemimpin Pakatan sudah mula berani menuduh ahli-ahli serta penyokong PAS melakukan dosa kerana kononnya menyokong Perdana Menteri DS Najib Razak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pemimpin Pas bertaubat kerana menyokong perbuatan ‘jenayah’, rasuah dan mencuri yang diamal oleh BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa, mengundi Pas adalah sama dengan dengan mengundi BN dan menyokong perbuatan jenayah dan dosa penjenayah akan turut ditanggung oleh mereka yang menyokong penjenayah.

“Sesungguhnya mengundi Pas adalah sama dengan mengundi BN dan mendokong perbuatan jenayah, rasuah dan mencuri yang diamal oleh BN pimpinan Najib.

“Dosa yang akan ditanggung pengamal jenayah akan ditanggung juga oleh mereka yang menyokong penjenayah. Oleh itu bertaubatlah wahai pemimpin dan ahli Pas,” tulisnya dalam blog hari ini.

Baru-baru ini ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata mengundi PH sama seperti mengundi DAP.

Anak presiden Pas itu mendakwa DAP mempengaruhi AMANAH, Bersatu dan PKR untuk mengsekularkan negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, dalam PRU-14 Pas akan bertanding tiga penjuru dan undi DAP, Cina dan India tidak akan diperolehi oleh calon Pas.

Namun katanya bagi Pas yang penting bukan bangsa, agama dan tanahair; yang diutamakan bukan pun penyingkiran kerajaan kleptokrat Najib.

Sebaliknya bagi Pas yang penting adalah permusuhannya dengan AMANAH dan DAP.

“Bagi Pas partinya lebih utama dari segala-galanya. Kalah pun tidak mengapa asalkan Pas bertanding,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *