Guan Eng dikhuatiri guna sekolah untuk berpolitik

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sememangnya terkenal dengan kenyataan-kenyataan berbaur politik walaupun didalam majlis yang bukan politik di seluruh negara. Malah jika beliau mengadakan lawatan ke luar negara sekalipun, ucapan politiknya pasti akan juga kedengaran.

Kita boleh lihat kenyataan-kenyataan beliau sewaktu ucapan sempena perayaan, ataupun didalam majlis-majlis makan malam, Guan Eng tak akan melepaskan peluang untuk menyelitkan unsur-unsur politik didalam percakapannya.

Maka dengan sebab itulah Guan Eng dihalang daripada melawat sebuah sekolah Cina di Sungai Lembu, Bukit Mertajam kerana bimbang ianya akan digunakan untuk tujuan berpolitik. Siapa yang mampu menjamin bahawa Guan Eng akan menahan nafsunya dari berbuat demikian?

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, Guan Eng sering membuat tuduhan buruk terhadap kerajaan pusat dan tidak menolak akan menggunakan sekolah pula dengan mengeluarkan kenyataan berbau politik.

“Guan Eng juga sering mencari kesempatan menuduh kerajaan pusat apabila Kerajaan Pulau Pinang memberikan sumbangan kepada sekolah di negeri itu,” kata beliau dipetik berkata dalam akhbar China Press.

Menurut Sin Woon, menteri pendidikan mempunyai kuasa sama ada membenarkan Guan Eng mengadakan lawatan ke sekolah Cina atau tidak.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah meminta Guan Eng mengirim surat kepada jabatan pendidikan negeri untuk membuat permohonan supaya membenarkan beliau mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan,” katanya lagi.

Melalui sepucuk surat yang dikirim Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman pada 6 September lalu, memaklumkan bahawa Guan Eng tidak dibenarkan melawat sekolah berkenaan.

Oleh yang demikian, keputusan menghalang Guan Eng dari memasuki sekolah tersebut sangatlah tepat kerana beliau dilihat mempunyai motif politik untuk mengadakan lawatan ke sekolah tersebut. Sikap berpura-pura baik yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP itu tidak wajar dipandang mudah. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *