IMPAK lapor SPRM Azmin Ali salah guna kuasa

SHAH ALAM: Sebuah NGO, Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak satu siasatan dijalankan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berhubung penjualan sebidang tanah di Ijok yang bernilai kira-kira RM1.1 bilion.

Presiden IMPAK Datuk Zul Azhari Mohamed Juah mendakwa Azmin menyerahkan tanah seluas 2,198.4 ekar kepada dua pemaju yang kontraknya telah dibatalkan pada 2014 oleh kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim ekoran dua pemaju itu gagal membangunkan tanah berkenaan.

“Pada 2014, tanah tersebut telah dirampas oleh pihak kerajaan negeri pada ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dikembalikan semula kepada pemilik asal kerana kegagalan dua buah syarikat iaitu Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd dalam membangunkan tanah tersebut,” katanya.

Zul Azhari berkata, dua syarikat itu kemudiaanya membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak, menyebabkan mereka meneruskan tuntutan di Mahkamah Rayuan, namun tetap ditolak.

Kes itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

“Pada 23 September 2014, hasil daripada agenda Langkah Kajang yang dijalankan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah dilantik menjadi Menteri Besar yang baru.

“Pada tahun 2015, dua syarikat terbabit tiba-tiba telah menarik semula tuntutan mereka di Mahkamah Persekutuan kerana tanpa dijangka Datuk Seri Azmin telah bersetuju untuk menyerahkan semula tanah berkenaan kepada dua syarikat tersebut.

“Tindakan ini sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan negeri sebelumnya,” katanya lagi.

Tambah beliau, tanah itu kemudian dijual kepada sebuah syarikat pemaju iaitu Eco World Group Development Berhad dengan harga RM1.181 bilion.

Katanya, urus niaga tersebut menimbulkan pelbagai keraguan khususnya kaedah yang digunakan Azmin sewaktu menyelesaikan isu ini.

Malah beliau juga mempersoalkan sama ada wujud pertembungan kepentingan melibatkan orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan yang merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah untuk kedua-dua syarikat berkenaan.

“Ke mana perginya wang sejumlah RM1.181 bilion yang diterima oleh dua syarikat ini yang sepatutnya dibayar kepada 383 peneroka sebagai pampasan dan apakah nasib 3,436 pembeli rumah yang telahpun membayar deposit,” katanya.

Justeru kata beliau SPRM perlu menyiasat sama ada wujud sebarang salah guna kuasa berhubung urus niaga tersebut.

“Jika terdapat jenayah salah guna kuasa di dalam kes ini, kami mohon pihak yang terbabit didakwa dan dihukum,” katanya lagi.

 

Sumber -na-/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *