Jenazah pelajar tahfiz dikebumikan dalam satu liang lahat

URUSAN pengkebumian 23 mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akan dilakukan secepat mungkin selepas proses forensik selesai dan JAWI serta MAIWP akan menguruskan dari awal hingga akhir urusan pengkebumian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jika mendapat persetujuan waris, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah di Karak, dalam satu liang lahad.

Menurutnya, JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) akan memberi semua bantuan diperlukan kepada mangsa yang terselamat termasuk penempatan sementara.

Asyraf berkata, seorang kaunselor juga disediakan untuk setiap keluarga bagi memastikan psikologi dan emosi mereka diurus dengan baik akibat trauma kejadian.

Beliau juga merayu keprihatinan dan rasa tanggungjawab rakyat Malaysia supaya tidak terus menularkan gambar mangsa tragedi itu.

“Dengan rasa amanah dan tanggungjawab, tolonglah jaga sensitiviti keluarga dan hormati jenazah. Jika berlaku pada keluarga kita sendiri ia pasti meruntun perasaan kita,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai berhati-hati dengan pungutan derma kilat berikutan kejadian kerana dikhuatiri terjebak dengan penipuan.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *