Kerajaan AS haramkan pejabat kerajaan guna perisian Kaspersky

WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengharamkan penggunaan perisian keselamatan Kaspersky di pejabat-pejabat Persekutuan kelmarin.

Tindakan tersebut dilakukan atas alasan perisian yang dikeluarkan oleh syarikat dari Rusia itu mempunyai hubungan dengan agensi pe­risikan Moscow yang mampu mengancam keselamatan negara.

Pemangku Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Elaine Duke mengarahkan semua pejabat kerajaan supaya membuang dan menggantikan sebarang perisian antipenggodam popular oleh syarikat itu dalam tempoh 90 hari.

“Jabatan ini bimbang dengan hubungan antara beberapa pegawai Kaspersky dan perisikan Rusia serta lain-lain agensi kerajaan,” kata Duke dalam satu kenya­taan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa agensi perisikan Rusia menggunakan kuasa undang-undang bagi memaksa Kaspersky untuk memintas komunikasi agensi-agensi kerajaan AS.

“Risiko bahawa kerajaan Rusia, sama ada bertindak sendiri atau dengan kerjasama Kaspersky, boleh memanfaatkan akses yang disediakan oleh produk Kaspersky untuk menjejaskan maklumat dan sistem maklumat Persekutuan secara langsung yang membabitkan keselamatan negara AS,” kata Duke.

Langkah itu diambil di tengah-tengah ketegangan antara Rusia dan AS terhadap dakwaan gangguan oleh Moscow dalam pilihan raya Presiden AS tahun lalu.

Kaspersky sudah mengetahui kerajaan akan menutup perniagaan mereka, menurut syarikat AS yang bersaing dengannya.

Berpangkalan di Moscow, Kaspersky telah menjual perisian popular dan berkualiti tinggi di seluruh dunia selama dua dekad dan 85 peratus perniagaannya adalah di luar Rusia, termasuk de­ngan beberapa kerajaan, menurut syarikat tersebut. – AFP

Sumber – kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *