Kerajaan Syria bertanggungjawab atas serangan senjata kimia

DAMSYIK: Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kerajaan Syria bertanggungjawab ke atas serangan senjata kimia pada April lalu yang mengorbankan puluhan nyawa kebanyakannya kanak-kanak, lapor agensi berita China Xinhua.

Penyiasat jenayah perang PBB semalam mengatakan terdapat bukti menunjukkan Syria adalah dalang di sebalik serangan di Khan Sheikhun sebuah bandar di wilayah utara Idlib, kata Agensi Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Suruhanjaya Siasatan PBB (COI) mengenai Syria telah mengumpulkan “pelbagai maklumat” termasuk serangan berkenaan dilakukan tentera udara Syria pada 4 April.

Sekurang-kurangnya 83 orang terbunuh dan hampir 300 lagi cedera dalam serangan itu.

Agensi Pemerhati Hak Asasi Manusia itu, sebuah agensi beribu pejabat di Britain, sebelum ini mengatakan angka korban seramai 87 orang.

Kerajaan Syria bagaimanapun menafikan terbabit dan mendakwa tidak memiliki sebarang senjata kimia selepas perjanjian 2013 yang memerlukan negara itu menyerahkan semua senjata kimia miliknya. – BERNAMA

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *