Kisah Sedih Disebalik Baju Polo Hijau Kuning

Sesetengah orang pasti akan berasa malu jika ibu bapa mereka tidak mengambil berat tentang penampilan mereka terutama sekali berkaitan dengan pemakaian mereka.  Seperti seorang wanita di Jepun yang mempunyai pemikiran seperti itu, sehinggalah dia menemui sesuatu yang luar biasa yang telah mengubah cara dia memandang ayahnya buat selama-lamanya.

Baru-baru ini, seorang gadis muda telah berkongsi kisah menyentuh hati mengenai ayahnya sehingga ramai netizen di seluruh dunia berasa tersentuh apabila membaca kisahnya itu.

Gadis yang dikenali dengan nama Riaru telah menceritakan yang dia sering tertanya-tanya mengapa ayahnya sering memakai baju polo hijau kuning yang sama selama 20 tahun ini tanpa jemu.

Menurut Buzzfeed News, Riaru akhirnya berjaya menemui alasan itu selepas dia meneliti barang-barang milik mendiang datuknya yang meninggal dunia baru-baru ini.  Dia telah menjumpai gambar bulan madu ibu bapanya.

Di dalam gambar itu, ayahnya telah memakai baju polo hijau kuning kegemaraannya, manakala, ibunya yang telah meninggal dunia 18 tahun yang lalu, memakai baju polo sama seperti ayahnya tetapi mempunyai warna yang bertentangan.

Tersentuh dengan nilai sentimen yang dimiliki pada baju ayahnya itu, Riaru telah berkongsi ceritanya serta memuat naik gambar yang dia temui di Twitter.

Saya hairan kenapa ayah asyik pakai baju polo lama itu dan tidak beli baju yang baru.  Saya tidak pernah terfikir yang baju polo itu mempunyai memori yang sangat istimewa untuknya.

Jika baju itu terkoyak, dia akan menjahitnya dengan berhati-hati.  Dia akan memakainya untuk pergi ke majlis yang istimewa, seperti majlis kerja atau bercuti bersama keluarga.

Sejak Riaru ketahui mengapa ayahnya menyimpan baju itu, dia telah mengubah persepsinya terhadap ayahnya. Jika sebelum ini dia merasa ayahnya adalah seorang yang tidak “cool”, tetapi kini tidak lagi.

Sekarang, saya rasa saya perlu menjaga kenangan itu juga. Saya tidak akan pernah buang sebarang benda penting dari ibu bapa atau datuk saya.

Pastinya ini adalah cerita yang paling menyentuh hati yang membuatkan kita belajar menghargai orang yang kita sayangi kerana kita tidak tahu berapa lama masa kita ada untuk bersama mereka. –utaranews.com

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *