Kontrak negara asing akan dihapuskan jika PH menang?

Pakatan Harapan akan mengkaji semula segala kontrak ditandatangani kerajaan dengan negara asing jika menang pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu mahu mengkaji kontrak berkaitan aset strategik dan memastikan kedaulatan negara terjamin dalam setiap kontrak.

“Mengkaji semula kontrak-kontrak yang telah ditandatangani kerajaan dengan syarikat negara asing khususnya aset-aset strategik negara, mengkaji cara memastikan kedaulatan negara di Laut China Selatan terjamin, serta mengkaji kaedah untuk mendapatkan semula hak negara di Pulau Batu Putih,” katanya pada sidang media majlis presiden di Wisma Amanah hari ini.

Beliau berkata Pakatan Harapan khuatir melihat situasi Malaysia di arena politik antarabangsa sekarang ini, dan berikrar akan memulihkan dan mempertahankan dasar luar negara.

“Jika suatu ketika Malaysia dilihat sebagai suara dunia ketiga yang mampu melawan suara negara-negara lebih maju atau lebih kaya. Hari ini, Malaysia dilihat terperangkap di tengah percaturan geopolitik Amerika Syarikat dan China,” kata Dr Mahathir.

Beliau menambah Malaysia juga dilihat terlalu perlahan dalam menyuarakan pendirian tegas.

“Ia seperti krisis Korea Utara, kematian abang kepada Kim Jong Un yang dibunuh di Malaysia, langsung tiada implikasi terhadap rejim negara tersebut.

Di Yaman, tentera Malaysia dituduh terlibat dalam gagasan yang didakwa mengebom orang tidak bersalah, dan pembunuhan etnik Rohingya di Myanmar, Putrajaya dilihat tidak tegas terhadap Yangon,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *