Korea Utara beri ‘pakej hadiah’ kepada AS

GENEVA: Korea Utara hari ini memberi amaran, ‘pakej hadiah’ terbaharu kepada Amerika Syarikat (AS) akan menyusul lagi selepas ini.

Duta Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, Han Tae Song, berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Gencatan Senjata ditaja PBB dua hari selepas negaranya melancarkan ujian nuklear keenam dan terbesar setakat ini.

“Saya berbangga mengatakan, dua hari lalu pada 3 September, DPRK berjaya menjalankan ujian bom hidrogen untuk roket balistik antara benua di bawah pelan pembangunan kekuatan strategik nuklear.

“Langkah terbaru pertahanan diri oleh negara saya, DPRK adalah pakej hadiah tidak syak lagi ditujukan kepada AS.

“AS akan menerima lebih banyak pakej hadiah daripada negara saya selagi ia bergantung kepada provokasi sewenang-wenangnya serta cubaan sia-sia untuk meletakkan tekanan ke atas DPRK,” kata Tae Song dalam forum di sini.

Beliau berkata, tindakan ketenteraan diambil Korea Utara adalah satu langkah kekangan dan hak membela diri bagi membalas ancaman nuklear semakin meningkat AS sejak sedekad lalu dan dasar kejam bertujuan mengasingkan negaranya.

“Tekanan atau sekatan tidak akan berkesan ke atas negara saya. DPRK dalam apa juga keadaan pun tidak akan meletakkan halangan nuklearnya di meja rundingan,” katanya. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *