Laga cengkerik sukan popular di China, jadikan cengkerik sangat mahal dari emas

Mungkin ramai yang masih tidak tahu tentang laga cengkerik adalah salah satu jenis sukan yang amat diminati ramai orang sehingga sanggup mempertaruhkan sejumlah wang besar hanya semata-mata ingin turut sama mengambil bahagian dalam sukan ini.

Laga cengkerik dilaporkan adalah antara sukan yang amat popular di China semenjak ribuan tahun lalu sehingga menjadikan serangga tersebut sangat mahal dan lebih mahal daripada harga emas di pasaran.

Pengeluar cengkerik yang paling terkenal di China dipercayai di Sidian iaitu sebuah bandar kecil di wilayah Shandong dan juga antara pengeluar cengkerik yang paling mahal di negara berkenaan.

Menurut laporan Harian Metro, sejak ribuan tahun, cengkerik yang ditemui di padang di sekeliling Sidian terkenal kerana bersaiz besar dan agresif, ciri-ciri yang sangat penting dalam kalangan peminat tegar sukan itu.

Beberapa maharaja China juga diceritakan memilih cengkerik yang berasal dari padang di Sidian kerana peratusan kemenangan yang tinggi.

Kini peminat sukan itu yang kaya sanggup membelanjakan sejumlah wang yang tidak masuk akal untuk serangga itu semata-mata mahu menewaskan lawannya.

Pada lewat musim panas dan luruh, kawasan sekitar Sidian sibuk siang dan malam dengan penduduk termasuk dari kampung berhampiran mencari cengkerik terbaik.

Bagi meningkatkan harga cengkerik yang ditangkap, serangga itu juga dilatih supaya ia boleh bertarung.

Sidian adalah pasar cengkerik terbesar di China dan pada setiap tahun peminat sukan itu berkampung di bandar itu untuk membeli serangga terbaik.

Pada tahun ini, seorang petani di kampung Caojia menjual seekor cengkerik pada harga 15,000 yuan (RM9,657).

Akhbar tempatan pada 2014 melaporkan, seekor cengkerik dijual pada harga 300,000 yuan (RM193,142) sekali gus menjadi serangga paling mahal dijual di bandar itu.

Akibat perdagangan cengkerik yang semakin menguntungkan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan populasi serangga berkenaan di Sidian turun secara mendadak.

Sumber – mediamaklumat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *