Laman web Human Rights Watch disekat

KAHERAH: Mesir menyekat laman web Human Rights Watch hanya sehari selepas organisasi itu mengeluarkan laporan mengenai penyeksaan secara sistematik di penjara negara berkenaan.

Reuters yang cuba mengakses laman web terbabit lewat semalam gagal berbuat demikian.

“Pihak berkuasa Mesir tetap menegaskan bahawa sebarang kejadian membabitkan penyeksaan adalah jenayah terpencil oleh pegawai yang bertindak sendirian, namun laporan Human Rights Watch membuktikan sebaliknya,” kata Timbalan Pengarah Asia Barat Human Rights Watch, Joe Stork semalam.

Laporan yang bertajuk “We Do Unreasonable Things Here”, berdasarkan maklumat 19 bekas tahanan dan keluarga, mendakwa pihak berkuasa Mesir menggunakan kuasa menangkap secara sewenang-wenang, hilang secara paksaan dan penyeksaan.

“Bukan saja tidak menangani krisis penyeksaan di Mesir, malah pihak berkuasa menyekat akses kepada laporan yang mendokumenkan apa yang sudah diketahui oleh ramai warga Mesir dan orang lain yang pernah tinggal di sana.”

Kementerian Luar Mesir menafikan sekeras-kerasnya laporan itu dalam satu kenyataan kelmarin, mengatakan ia memfitnah negara dan mengabaikan kemajuan yang dibuat ke atas hak asasi manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *