Lebih 15 juta kanak-kanak seluruh dunia jadi buruh paksa

NEW YORK: Lebih 15 juta kanak-kanak atau hampir seorang dalam setiap 10 kanak-kanak seluruh dunia terbabit sebagai buruh ketika usaha membasmi gejala itu masih tidak menampakkan hasil.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melaporkan, hampir separuh daripada kanak-kanak berkenaan terbabit dalam pekerjaan berbahaya dan lebih dua pertiga tidak bersekolah.

Walaupun jumlah buruh kanak-kanak berkurangan sebanyak 94 juta orang sejak 2000, pengurangan itu semakin perlahan bermula dari 2012 hingga 2016.

Perkembangan itu merencatkan usaha untuk membasmi gejala buruh kanak-kanak menjelang 2025 seperti dibentangkan dalam senarai sasaran terkini Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 khusus bagi memerangi kemiskinan serta ketidaksamarataan.

Pakar teknikal mengenai buruh paksa ILO yang berpangkalan di Geneva, Houtan Homayaounpour, berkata dunia tidak berada di landasan sepatutnya untuk mengakhiri masalah buruh kanak-kanak dalam tempoh lapan tahun.

Malah, katanya, dijangkakan 121 juta kanak-kanak masih terjebak dalam permasalahan itu menjelang 2025.

“Kita perlu mengatasi segera perkara ini,” katanya.

Perangkaan terkini ILO mencatatkan sejumlah 152 juta kanak-kanak, iaitu 64 juta kanak-kanak perempuan dan 88 juta kanak-kanak lelaki adalah mangsa gejala buruh kanak-kanak.

Lebih dua pertiga kanak-kanak berkenaan bekerja di ladang milik keluarga atau terbabit dalam perniagaan keluarga dengan 71 peratus terbabit dalam sektor pertanian. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *