Lelaki minta maaf selepas rompak bank

BANGKOK: “Saya minta maaf, saya ada masalah kewangan,” kata seorang lelaki bersenjata kepada seorang juruwang di Bank Thanachart yang terletak di Rama III Road, Khamis sebelum melarikan wang berjumlah Bt270,000 (RM34,254).

Lelaki berusia kira-kira 30 tahun itu mengambil masa kira-kira satu minit untuk merompak juruwang di cawangan Bang Khlo Laem kira-kira pukul 8.52 pagi.

Saksi memberitahu polis bahawa lelaki itu memakai sarung kepala yang kadang kala dipakai oleh penunggang motosikal sebelum memakai topi keledar.

Timbalan pesuruhjaya polis metropolitan Surachai Kuandechakup berkata suspek menghampiri juruwang berkenaan, menunjukkan senjata yang tidak dapat dikenal pasti jenisnya dan menuntut agar wang diberikan kepadanya.

“Suspek meminta maaf dan memberitahu bahawa dia mempunyai masalah wang,” kata Surachai.

Dia kemudian meletakkan wang itu ke dalam begnya dan keluar dari bank secara senyap-senyap.

Malah pengawal keselamatan menolong membuka pintu untuknya, kerana menganggap dia adalah seorang budak penghantar.

Surachai berkata, berdasarkan apa yang dinyatakan suspek kepada juruwang tersebut, dia bukanlah seorang penjenayah profesional.

Seorang pengawal keselamatan bank memberitahu pihak polis bahawa wajah perompak terbabit seperti biasa dilihatnya dan bermungkinan adalah pelanggan bank.

Polis sedang memeriksa kamera keselamatan bank untuk mengenal pasti perompak tersebut dan membuat lakaran.

Beberapa saksi berkata mereka dapat melihat dengan jelas wajahnya yang tidak dilindungi.

Polis berkata lelaki bersenjata itu memakai baju dan seluar hitam.

Dia masuk ke dalam bank sambil membawa beg dan berkelakuan seperti pelanggan biasa.

Suspek kemudian mengacukan pistol kepada juruwang dan menuntut wang tunai. – The Nation/Asia News Network

Sumber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *