Mahathir pernah mengaku ‘seseorang’ bayar Bush

Sungguhpun bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan pernah mengeluarkan arahan untuk membayar pelobi bagi mengatur pertemuan dengan George W Bush, beliau sendiri mengakui ‘seseorang’ membuat pembayaran berkenaan.

“Saya tidak rasa kerajaan (Malaysia) bayar. Tetapi saya mengakui Yayasan Warisan (Heritage Foundation US) mengaturkannya.

“Mereka memujuk saya bertemu Bush kerana mereka katakan saya boleh mempengaruhi beliau dalam beberapa perkara mengenai dasar AS,” kata Dr Mahathir dipetik laporan The Star bertarikh 21 Februari 2006.

Menurut laporan berkenaan, Dr Mahathir mengaku ada pihak membayar US$1.2 juta (RM4.56 juta nilai 2006) sebagai yuran kepada pelobi.

Katanya, adalah amalan biasa di Amerika Syarikat untuk membayar pelobi bagi bertemu dengan pemimpin negara berkenaan.

“Saya tidak sentuh duit tersebut. Tetapi, saya rasa ada pihak membayarnya. Itu adalah amalan mereka.

“Itu merupakan sistem mereka. Ianya bukan rasuah. Ianya sangat terbuka,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Laporan The Star sekaligus menyangkal penafian Dr Mahathir bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan berhubung pembayaran berjuta ringgit kepada pelobi Ken Schiffer untuk mengatur pertemuan dengan Bush.

Dr Mahathir bertemu dengan Bush pada 2002 sewaktu beliau dalam rangka lawatan kerja luar negaranya.

Katanya, tiada arahan dikeluarkan untuk membayar pelobi berkenaan.

Menurut anak Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Datuk Megat Fairouz Junaidi berkata, pertemuan berkenaan bagi membersihkan nama bekas Perdana Menteri itu selepas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore yang memuji gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menentang kerajaan pemerintahan Dr Mahathir.

“Kejayaan untuk bertemu dengan Presiden Bush amat diperlukan Tun bagi menaikkan semula ‘rating’ beliau di kaca mata pihak pentadbiran AS.

“‘Rating’ Tun tercalar susulan kenyataan bekas Naib Presiden AS, Al Gore yang kurang disenangi Tun pada APEC Summit di Kuala Lumpur pada 1998,” katanya.

Ujar Megat Fairouz, bapanya diarahkan oleh Dr Mahathir pada 2001 bagi mengaturkan pertemuan dengan Bush.

“Usaha itu diadakan sejak April 2001 yang mana arwah melaksanakan arahan dengan berjumpa beberapa pihak termasuk membayar pelobi bagi membolehkan Tun berjumpa dengan Bush.

“Berapa jumlahnya itu saya kurang pasti tetapi difahamkan dalam jutaan ringgit,” katanya lagi.

 

Sumber – Malaysiandigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *