Mahkamah benar permohonan injunksi CZBUCG

PULAU PINANG 14 sept. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan injunksi Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (CZBUCG) bagi menghalang Datuk Huan Cheng Guan mengeluarkan kenyataan berhubung pembinaan terowong dasar laut di negeri ini.

Peguam Cheng Guan, Datuk Baljit Singh ketika ditemui di luar mahkamah berkata, keputusan itu dibuat Hakim Datuk Rosilah Yop di dalam kamar di hadapan kedua-dua pihak termasuk peguam Tengku Haris Tengku Rostam yang mewakili CZBUCG.

Bagaimanapun, kata Baljit, keputusan itu hanya melibatkan CZBUCG selaku plaintif pertama tetapi injunksi anak guamnya, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) terhadap Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) tidak berkaitan.

“Oleh itu, injunksi ini mengikut pandangan kami hanyalah terhadap satu syarikat yang sudah tidak lagi wujud, Cheng Guan akan tetap berbincang mengenai isu melibatkan Zenith, bukannya CZBUCG.

“Akan tetapi, walaupun secara praktikalnya anak guam saya tidak dihalang mengeluarkan kenyataan tentang Zenith, kita akan membuat rayuan sebab perkara ini penting untuk rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Consortium Zenith, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong bernilai RM6.34 bilion itu, memfailkan saman terhadap Cheng Guan pada 11 Ogos 2016 selain memfailkan injunksi bagi melarangnya mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek itu.

 

Sumber – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *