Mahkamah putuskan dua ahli Parlimen DAP tidak bersalah sertai demonstrasi jalanan

KUCHING: Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan bahawa dua Ahli Parlimen DAP Chong Chieng Jen (Bandar Kuching) dan Julian Tan (Stampin) tidak bersalah atas tuduhan terlibat dalam perhimpunan aman BERSIH 4.0 dua tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Steve Ritikos berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh bersalah terlibat dalam demonstrasi jalan.

Katanya berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh hanya berkumpul di hadapan Kuching Hilton, di mana mereka meletakkan kenderaan masing-masing dan kemudian berjalan ke Padang Song Kheng Hai, iaitu lokasi yang diluluskan untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0.

Oleh sebab itu, beliau berkata kedua-dua tertuduh tidak boleh disabit dengan kesalahan terbabit dalam demonsatrasi jalanan secara haram.

Mahkamah membuat keputusannya hari ini setelah pihak pendakwaan selesai memanggil semua tujuh saksinya untuk memberi keterangan kepada mahkamah.

Chieng Jen yang juga pengerusi DAP Sarawak dan Tan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012) kerana menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 pada 29 Ogos 2015.

Kedua-dua tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 dan diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun sekiranya mereka didenda melebihi RM2,000, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan bagaimanapun diberi tempoh 14 hari jika mahu mengemukakan rayuan.

 

Sumber – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *