“Maklumat itu tidak betul, tak ada perbincangan berupa itu” – Daeng Sanusi

SHAH ALAM: Laporan sebuah portal bahawa PAS membenarkan rundingan politik diteruskan dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam soal pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Perak, disanggah Dr Daeng Sanusi Mariok.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS itu memberitahu beliau juga hadir ke mesyuarat permukiman pimpinan tertinggi parti di Pulau Pangkor dan menegaskan tiada kata putus sebegitu dipersetujui.

“Maklumat itu tidak betul, sedangkan saya sendiri hadir ke mesyuarat itu, dan tidak ada perbincangan berupa itu.

“Itu sekadar persepsi atau spekulasi. Hal itu tidak berbangkit,” katanya ringkas kepada Antarapos.

Permukiman bermula 5 hingga 8 September itu dihadiri oleh semua pucuk pimpinan PAS termasuk Mursyidul Am Hashim Jasin dan Presiden Abdul Hadi Awang.

Ia turut disertai oleh ahli Majlis Syura Ulama, ahli jawatankuasa PAS Pusat dan Lembaga Penasihat parti.

PAS sebelum ini nekad bergerak dengan Gagasan Sejahteranya, selepas enggan menyertai Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah serta PPBM.

Ura-ura rundingan antara PAS dan PKR juga bertebaran sejak kebelakangan ini meskipun tahaluf siyasi di antara dua parti berkenaan terbatal sejak Mei lalu.

Malah Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengutuskan sepucuk surat mengesahkan hasratnya mahu PKR meneruskan rundingan dengan PAS dalam kerangka PH.

Namun pegangan Anwar tidak disambut beberapa pemimpin PH termasuk pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

untuk rekod, Majlis Presiden PH (MPPH) pada 29 Ogos lalu memutuskan untuk menutup pintu rundingan dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan lebih daripada dua penjuru.

 

Sumber -ze/Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *