Masyarakat Cina diminta hargai jasa MCA

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Masyarakat Cina diminta agar menghargai jasa MCA sebagai parti yang sentiasa memperjuangkan nasib dan kepentingan kaum itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata hasil kejayaan yang dikecapi masyarakat Cina hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin MCA terdahulu.

“Kalau tiada MCA dalam Barisan Nasional, adakah kamu fikir sekolah Cina akan senang seperti sekarang. TAR UC (Kolej Univeristi Tunku Abdul Rahman. Peluang perniagaan. Itu yang rakan-rakan saya dalam MCA perjuangkan.

“MCA adalah parti berstruktur. Mengapa musnahkan parti cantik ini,” katanya pada majlis penutupan program Lukisan Mural Tapak Tangan Patriotik sempena Hari Kebangsaan ke-60 di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan Datuk Yew Teong Look.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut mengingatkan pemimpin MCA untuk terus mendekati rakyat bagi mendapatkan sokongan mereka.

Sementara itu Liow dalam ucapan aluannya berkata program lukisan mural itu melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan menempa sejarah sebagai lukisan mural terpanjang, sekal igus direkodkan dalam Malaysia Book of Records dengan lebih 80,000 tapak tangan dikumpulkan sejak ia dilancarkan pada 8 Ogos lepas.

“Tourism Malaysia juga telah mengkaji tempat ini dan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dinding ini akan menjadi tumpuan pelancong pada masa depan,” katanya.

Tengku Adnan dan Liow turut meletakkan lukisan tapak tangan mereka pada dinding mural sepanjang 600 meter itu.

 

Sumber – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *