MCA salur RM206,000 kepada peniaga terjejas akibat kebakaran

SEREMBAN – Seramai 206 peniaga Pasar Besar Seremban yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan lot gerai mereka Sabtu lalu, menerima bantuan kecemasan kebakaran MCA menerusi ‘Crisis Relief Squad of MCA’ (CRSM) di sini, hari ini.

Kesemua mereka yang berdaftar, menerima RM1,000 setiap seorang, dengan nilai keseluruhan diperuntukkan bagi kumpulan pertama itu sebanyak RM206,000.

Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, selepas kira-kira seminggu, pihaknya menyiapkan cek untuk diberikan bantuan kecemasan kepada peniaga terjejas susulan kejadian kebakaran itu.

“Hari ini, 206 peniaga menerima bantuan kecemasan untuk kumpulan pertama ini, di mana kesemua mereka mendaftarkan nama kepada MCA.

“Bagaimanapun, kita akui masih terdapat 121 orang lagi daripada jumlah keseluruhan peniaga yang terjejas seramai 327 orang belum mendaftarkan nama.

“Mana-mana peniaga yang belum berdaftar atau tiada dalam senarai nama hari ini disarankan untuk bersabar kerana fasa kedua bantuan akan disalurkan kepada mereka pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pada Majlis Penyampaian Bantuan Kecemasan Kebakaran MCA kepada peniaga dan penjaja Pasar Besar Seremban yang terjejas, di tapak Pasar Besar Seremban di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan, Datuk Sri Dr Lim Chin Fui; Pengerusi MCA Bahagian Seremban, Siow Koi Voon dan Pengerusi Bahagian MIC Seremban, S Batumalai.

Sin Woon berkata, dana ‘Crisis Relief Squad of MCA’ (CRSM) adalah bantuan yang disalurkan kepada mangsa yang berhadapan dengan bencana seperti kebakaran, banjir, dan lain-lain.

“MCA sedia untuk membantu kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kecemasan,contohnya kebakaran, banjir dan bencana-bencana lain. Untuk bencana kebakaran ini, saya mengucapkan terima kasih kepada CRSM kerana bersetuju untuk memberikan bantuan kepada mangsa terlibat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, masih banyak isu-isu teknikal yang perlu diselesaikan termasuk keselamatan sekiranya, kawasan tempat letak kereta di tapak Pasar Besar Seremban dijadikan sebagai tempat berniaga sementara bagi peniaga terjejas.

“Isu teknikal seperti, keselamatan barang berniaga, permohonan pinjaman dan lain-lain perkara itu akan kita bawa pada mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) nanti untuk mencari jalan penyelesaian paling baik,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa bangunan Pasar Besar Seremban akan dibaik pulih dengan turut meningkatkan tahap keselamatan pada bangunan terbabit khususnya persediaan menghadapi kebakaran.

“Sebelum ini tiada, sebab bangunan ini sudah lama. Tetapi kalau selepas pembaharuan Pasar Besar Seremban ini nanti, unsur keselamatan akan dimasukkan, kita akan pastikan perkara itu. “Pada masa sama semua pengusaha perlu sedar untuk kepentingan menjaga keselamatan. Sebab ini merupakan periuk nasi mereka,”katanya.

Sementara itu, wakil Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Iskandar Ariffin berkata, pihaknya sedang mengambil tindakan untuk membina khemah dan melakukan kerja-kerja penyusunan gerai berdasarkan seksyen.

Katanya, segala aduan dan cadangan dikemukakan akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan, termasuk isu teknikal seperti sambungan elektrik, penutupan jalan dan tempat letak kereta untuk pelanggan.

 

Sumber – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *